KOTA BHARU: Berebut kekasih dipercayai menjadi punca dua remaja lelaki bertumbuk di Kampung Bukit Kecik, Melor di sini minggu lalu sehingga video pergaduhan mereka tular di media sosial.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kedua-dua remaja berusia 14 dan 15 tahun itu bersama lima orang saksi kejadian sudah dipanggil untuk memberi keterangan semalam.
Menurutnya, siasatan mendapati, dua pelajar di sebuah sekolah menengah di Ketereh itu bergaduh disebabkan berebut kekasih.
“Kita percaya pergaduhan itu disebabkan cinta dalam kalangan pelajar sekolah sehingga menyebabkan mereka cemburu.
“Sebelum insiden itu, mereka sudah berjanji akan bertemu di satu tempat untuk berentap menunjukkan kekuatan masing-masing. Rakan-rakan yang tahu mengenai pertemuan itu turut hadir untuk menonton mereka bertumbuk,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, polis sentiasa menjalankan pemantauan dalam menangani kegiatan yang tidak bermoral dan elemen yang tidak baik dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan remaja yang masih bersekolah.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Polis akan memanggil dua pelajar bagi membantu siasatan berkait rakaman video yang memaparkan aksi mereka bertumbuk dalam kejadian di Kampung Bukit Kecik, Melor di sini pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, kedua-dua suspek berusia antara 14 hingga 15 tahun itu merupakan pelajar di salah sebuah sekolah menengah di kawasan Ketereh.-UTUSAN