Rasuah kerja pengurusan mayat: Dua kakitangan perubatan hospital direman - Utusan Malaysia

Rasuah kerja pengurusan mayat: Dua kakitangan perubatan hospital direman

DUA kakitangan perubatan hospital dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini bagi direman berkaitan kes meminta dan menerima rasuah sebagai balasan menawarkan kerja-kerja pengurusan mayat bukan Islam di sebuah hospital di Negeri Sembilan.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua orang kakitangan perubatan hospital direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes minta dan menerima rasuah dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM11,000 sebagai balasan menawarkan kerja-kerja pengurusan mayat bukan Islam di sebuah hospital di negeri ini. 

Perintah reman terhadap kedua-dua lelaki berusia 35 dan 39 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret, Syed Farid Syed Ali di Mahkamah Majistret Seremban hari ini selepas menerima permohonan Pegawai Pendakwa, Zainab Yahya.

Kedua-duanya yang direman itu telah diwakili peguam, M.Parameswary dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Bagaimanapun, dua lagi suspek termasuk seorang wanita dilepaskan dengan jaminan RM10,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin atas faktor kesihatan selepas keterangan mereka direkodkan.

Semalam media melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan telah menahan empat kakitangan perubatan awam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak kira-kira RM100 hingga RM600 dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM11,000.

Ia sebagai balasan menawarkan kerja-kerja pengurusan mayat bukan Islam di sebuah hospital di negeri ini. 

Sumber memberitahu, tiga suspek lelaki dan seorang suspek wanita berusia antara 30-an hingga 50-an dipercayai ditahan antara kira-kira jam 4 petang hingga 7 malam semalam di pejabat SPRM Negeri Sembilan ketika diminta hadir memberi keterangan.

Kesemua suspek yang bertugas di hospital yang sama dipercayai menerima wang rasuah yang melibatkan kira-kira 42 transaksi bank daripada dua syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengurusan mayat di antara tahun 2022 dan hingga 2023.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra bin Awg Ismail mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN