Rakyat lebih pilih politik khidmat berbanding persepsi - Utusan Malaysia

Rakyat lebih pilih politik khidmat berbanding persepsi

JALALUDDIN Alias
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram telah membuktikan bahawa rakyat semakin menerima prestasi yang ditampilkan Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan PRK semalam juga menjelaskan bahawa rakyat lebih memilih ‘politik khidmat’ yang dibawa oleh PH dan Barisan Nasional (BN) berbanding mainan politik persepsi oleh pembangkang.

“Semua golongan masyarakat daripada pelbagai kaum dan bangsa termasuk golongan muda buat keputusan yang tepat untuk pilih wakil di Parlimen dan wakil di DUN untuk teruskan khidmat kepada rakyat.

“Politik persepsi harus dihentikan dan tidak bawa apa-apa kebaikan, politik khidmat mesti diberikan keutamaan.

“Pemahaman rakyat dalam soal khidmat wakil mereka di Dewan Rakyat dan DUN adalah satu pemahaman yang sangat penting kerana itu apabila kita lihat berdasarkan keputusan semalam menampakkan peningkatan sokongan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan, PH dan BN,” katanya.

Jalaluddin yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Jelajah Fit Malaysia 2023 Peringkat Negeri Sembilan di Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PH menang di kerusi Parlimen Pulau menerusi calonnya, Suhaizan Kayat dengan majoriti 18,641 undi.

PH juga mengekalkan kerusi DUN Simpang Jeram apabila calonnya, Nazri Abdul Rahman menewaskan dua pencabarnya yang lain dengan majoriti 3,541 undi.

Sementara itu, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang menambah, apabila penjelasan demi penjelasan terus diberikan selepas ini, beliau yakin kepemimpinan Kerajaan Perpaduan akan terus diterima rakyat.

“Saya yakin apabila penjelasan yang dilakukan dari semasa ke semasa, isu yang dibawa oleh pembangkang dengan politik persepsi tidak lagi mendapat tempat pada masyarakat,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN