Projek ETS 93 peratus siap, bakal beroperasi April 2025 - Utusan Malaysia

Projek ETS 93 peratus siap, bakal beroperasi April 2025

MOHAMAD FAZLI SALLEH (dua dari kanan) melawat Projek Landasan Berkembar Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru di Stesen KTM Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Projek Landasan Berkembar Sistem Tren Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru berjalan lancar yang kini mencapai tahap 93 peratus dijangka beroperasi menjelang April 2025.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, perkhidmatan ETS itu bakal beroperasi sepenuhnya pada April 2025, sekali gus membolehkan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dihubungkan dari Padang Besar, Perlis ke Johor Bahru, Johor.

“Kita menunggu depoh yang dibuat di Kempas kini sudah mencapai 54 peratus, maka kita perlu sedikit lagi masa. Namun pada masa sama, kita perlu lakukan ujian ETS, segala ujian teknikal dan sebagainya terdahulu pada November 2024.

“Jadi, saya rasa yang penting projek ini berjalan lancar dan kita pastikan dalam secepat mungkin dapat menyediakan perkhidmatan ETS kepada masyarakat hingga ke Johor,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kemajuan projek tersebut di Stesen KTM Segamat, di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar dan Pegawai Daerah Segamat, Mohd. Masni Wakiman. 

Mohamad Fazli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir berkata, ketika ini perkhidmatan ETS hanya disediakan di laluan Padang Besar ke Kuala Lumpur.

“Bagi selatan pula, ia kini hanya perlu diperlengkapkan. Saya harap sedikit masa lagi dapat dilengkapkan dan perkhidmatan itu boleh diakses secara optimum. Kita juga merancang untuk menambah jumlah gerabak ETS di laluan berkenaan, namun tertakluk kepada permintaan khidmat pelanggan. 

“Sudah pasti (10 gerabak ETS) kita melihat itu agak mencukupi buat permulaan ini dan saya melihat potensi membawa penumpang ini adalah satu mod pengangkutan kini yang sangat popular, antaranya berkait rapat sektor pelancongan,” katanya.

Projek landasan berkembar sepanjang 192 kilometer berkenaan akan melalui 11 stesen dengan tren berkuasa 25,000 voltan mampu bergerak selaju 140 kilometer sejam.

Lebih mengujakan apabila anggaran masa perjalanan dari KL Sentral ke JB Sentral hanya mengambil masa tiga jam 30 minit manakala dari Stesen Segamat ke JB Sentral hanya memakan masa satu jam 30 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya