PRK: Petugas media sambut hari lahir, ulang tahun perkahwinan pada hari mengundi - Utusan Malaysia

PRK: Petugas media sambut hari lahir, ulang tahun perkahwinan pada hari mengundi

MOHAMAD FAUZI ISHAK (tengah) dan Nur Aisyah (tiga dari kiri) bergambar bersama-sama petugas media yang mengundi pada PRK Parlimen Pulai, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Walaupun sibuk dengan tugasan membuat liputan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, beberapa petugas media sempat menunaikan tanggungjawab mengundi.

Lebih manis bagi jurugambar Kumpulan NSTP, Nur Aisyah Mazalan yang turut meraikan ulang tahun kelahiran ke-35 dan perkahwinan ketujuh selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tampoi Indah, di sini.

“Alhamdulillah, syukur hari ini merupakan hari ulang tahun kelahiran saya yang ke-35 dan ulang tahun perkahwinan saya bersama suami, Muhammad Firdaus Adnan yang ketujuh.

“Hari ini juga merupakan hari pengundian bagi PRK. Saya mengundi untuk Parlimen Pulai. Ini akan dijadikan kenangan indah dalam hidup saya dan akan ingat sampai bila-bila, mungkin sekali dalam seumur hidup,” katanya.

Selain Nur Aisyah, enam lagi pengamal media termasuk Presiden Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak turut mengundi di SK Kempas, di sini.

“Itu tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia. Kebetulan PRK berlaku di sini, di kawasan saya mengundi. Jadi, walaupun sibuk dengan tugasan, tanggungjawab kepada negara tidak dilupakan.

“Saya tidak pernah terlepas mengundi sejak mula layak mengundi. Saya juga pilih untuk keluar mengundi awal bagi memudahkan kerja-kerja seterusnya,” katanya.

Seorang lagi petugas media, Thomas Yong Kim Sing, 57, pula terpaksa mengutamakan tanggungjawab sebagai jurugambar sebuah akhbar tempatan sebelum menunaikan tanggungjawab tersebut.

“Jadual kerja saya agak padat hari ini. Jadi, saya utamakan tugasan dahulu dan akan pergi mengundi di Sekolah Agama Taman Perling petang nanti, sebelum kembali menyambung tugas selepas itu,” katanya.

Perkara sama turut dikongsikan seorang wartawan akhbar berbahasa Cina, Chai Hui Choon, 44.

“Ya, saya akan mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Foon Yew 2 pada petang kerana agak sibuk pada waktu pagi ini. Saya perlu susun jadual pergerakan hari ini untuk membolehkan saya bertugas dan turut mengundi sebagai penduduk Parlimen Pulai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya