JOHOR BAHRU: Pegawai dan anggota daripada tiga Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) dan sebuah pasukan formasi Polis Diraja Malaysia (PRDM) menunaikan tanggungjawab mengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di Markas Pasukan Polis Marin (PPM Wilayah Dua, di sini mendapati, mereka mula beratur seawal pukul 7.30 pagi walaupun proses pengundian bermula 8 pagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak tiga peti undi digunakan untuk pengundian awal.
Dua peti undi diletakkan di dua saluran di Markas PPM Wilayah Dua dan sebuah lagi di Balai Polis Kempas.
SPR memaklumkan terdapat seramai 927 pengundi awal di kerusi tersebut.
Parlimen Pulai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PH, Suhaizan Kayat; calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.
PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.
Parlimen Pulai mempunyai seramai 167,108 pengundi yang terdiri daripada 74,814 Melayu (44.17%), Cina 67,635 (40.48%), India 20,555 (12.30%) serta Lain-lain kaum 5,104 (3.05%).
Hari pengundian pula ditetapkan pada 9 September ini. – UTUSAN