PRK: Lebih 4,000 pegawai, anggota polis bertugas pastikan kelancaran - Utusan Malaysia

PRK: Lebih 4,000 pegawai, anggota polis bertugas pastikan kelancaran

KAMARUL ZAMAN MAMAT (kiri) beramah mesra dengan sebahagian daripada 4,000 pegawai dan anggota polis yang akan bertugas sempena PRK Pulai dan Simpang Jeram, esok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lebih 4,000 pegawai dan anggota polis akan bertugas bagi memastikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, esok berjalan lancar.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, jumlah itu ditambah daripada lebih 3,000 orang setelah mengambil kira kemungkinan kesesakan di beberapa kawasan.

Menurutnya, kawasan dijangkakan sesak termasuk Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Lebuhraya Utara-Selatan serta plaza tol memasuki Muar.

“Pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di jalan-jalan strategik untuk memastikan kelancaran trafik. Kita jangka mungkin akan berlaku sedikit kesesakan, namun semua pihak dinasihati untuk bersabar, ikut peraturan dan jangan memotong.

“Dalam pada itu, kita turut meminta kontraktor memberhentikan sementara kerja-kerja membaik pulih jalan memasuki bandar raya Johor Bahru serta Muar. Polis akan turut ditempatkan di kawasan berkenaan,” katanya selepas menyampaikan amanat khas kepada pegawai dan anggota polis sempena PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Skudai, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Deputi Komisioner M. Kumar dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh.

Kamarul Zaman turut menasihati orang ramai khususnya penyokong parti politik supaya mematuhi arahan dan undang-undang ditetapkan bagi memastikan kelancaran kedua-dua PRK tersebut.

“Sementara itu, sekiranya terdapat halangan terhadap orang awam untuk keluar mengundi esok, sila maklumkan kepada pihak polis agar tindakan segera dapat diambil bagi membolehkan mereka melaksanakan hak dan tanggungjawab mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Imigresen turut menempatkan seramai 2,000 pegawai dan anggota di BSI serta KSAB bagi membolehkan semua laluan masuk dan keluar beroperasi sepenuhnya, esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya