Premis jual minyak masak peket libatkan warga asing dikenal pasti - Utusan Malaysia

Premis jual minyak masak peket libatkan warga asing dikenal pasti

TANGKAP layar rakaman video yang tular menunjukkan minyak masak peket satu kilogram dijual warganegara asing di sebuah pasar borong di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Premis yang dipercayai terlibat menjual minyak masak peket bersubsidi satu kilogram melibatkan warga asing sudah dikenal pasti oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri (KPDN) Johor.

Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berkaitan perkara tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“KPDN Johor maklum tentang rakaman video tular yang dilaporkan berlaku di sekitar Pasar Borong Pandan, di sini. Semalam, penguatkuasa telah menjalankan pemeriksaan serta dan mendapati premis tersebut gagal mematuhi Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974.

“Sehubungan itu, siasatan lanjut dijalankan bagi memastikan tiada ketirisan mahupun penyelewengan, terutamanya melibatkan bekalan minyak masak peket satu kilogram,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Lilis Saslinda berkata, sekiranya didapati bersalah, pihak terlibat boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, manakala denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kedua.

“Sebaliknya bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” jelasnya.

Menurutnya, hasil pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan mendapati bekalan barangan keperluan adalah mencukupi dan mudah diperoleh secara keseluruhannya.

“Pemeriksaan terhadap semua peringkat rantaian pengedaran melibatkan pengilang, pemborong serta peruncit dibuat bagi menjamin tiada berlaku ketirisan mahupun penyelewengan bekalan yang boleh menjejaskan bekalan di pasaran terutamanya di Johor. 

“KPDN Johor akan bertindak dengan cekap dan pantas serta tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan subsidi barang kawalan demi kepentingan rakyat,” tegasnya.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi lebih tiga minit memaparkan beberapa kotak dipercayai mengandung minyak masak peket satu kilogram dijual warga asing di sebuah premis di bandar raya ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya