PASIR PUTEH: Polis menyita 19 buah motosikal yang dinaiki remaja berusia 15 hingga 18 tahun selepas melanggar peraturan menerusi Op Motosikal di Kampung Wakaf, di sini pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, operasi bermula 6 petang itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada orang ramai berkait aktiviti yang tidak sihat dan mengganggu ketenteraman awam.
“Sebanyak 122 keping saman telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan dan operasi yang dilaksanakan mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang.
“Tiada sebarang tangkapan dibuat dalam operasi tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Zaizul Rizal memberitahu, hasil saringan air kencing yang dilakukan mendapati kesemua remaja itu bebas dari penggunaan bahan terlarang.
Katanya, golongan ibu bapa atau penjaga diingatkan supaya lebih cakna dengan aktiviti anak-anak masing-masing.
“Hal ini bagi memastikan mereka tidak terlibat dengan samseng jalanan sehingga mengganggu ketenteraman awam dan membahayakan pengguna jalan raya,” ujarnya.-UTUSAN