BENTONG: Perikatan Nasional (PN) menjadi pilihan terbaik pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, 7 Oktober ini bagi menerusi perjuangan membela bangsa dan negara yang ditinggalkan UMNO sejak bekerjasama bersama DAP.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Maran, Datuk Jasri Jamaludin mengingatkan penduduk dan pengundi di DUN Pelangai bahawa kerajaan negeri pada hari ini bukan lagi kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, ia adalah kerajaan UMDAP yang ditubuhkan hasil perkawinan luar tabie antara UMNO dan DAP yang menang lapan kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu keseluruhannya di kawasan bandar-bandar.
“Penduduk Pelangai perlu ingat kerajaan Pahang hari ini pada hakikatnya tidak mendapat mandat daripada rakyat negeri ini.
“Secara keseluruhannya dalam PRU15 lalu, rakyat Pahang telah menolak BN dari membentuk kerajaan. BN hanya mendapat 16 kerusi, jauh berkurang dari 25 kerusi yang dimenanginya semasa PRU14 lalu.
“Ini jelas menunjukan lebih 50 peratus daripada pengundi rakyat Pahang, mengikut perangkaan terbaru penduduk negeri, seramai 1,550,071 orang tidak mengundi BN. Malah buat pertama kali dalam sejarah, PN memenangi 17 kerusi DUN dan seterusnya menafikan dua pertiga majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang dalam PRU lalu,” katanya di sini hari ini.
Jasri yang juga ADUN Kuala Sentul berkata, untuk menjadi kerajaan, BN terpaksa bekerjasama dengan DAP yang berlainan ideologi dan meninggalkan asas perjuangan datuk nenek moyang yang berjuang puluhan tahun untuk negara dan bangsa.
“Kini, tiada lagi laungan hidup melayu pada Perhimpunan Agung Tahunan UMNO (PAU) sebaliknya diganti dengan laungan reformasi. Akhirnya reformasi yang dilaungkan pun sudah menjadi reformati apabila banyak perkara yang dicanangkan semasa mereka menjadi pembangkang tidak dilaksanakan. Segala janji mereka tidak ditunaikan.
“Contoh terbaru kes melepaskan Presiden UMNO yang terpalit dengan jenayah rasuah sebagai melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) walaupun sudah dibicarakan selama hampir empat tahun dan didapati ada prima facie yang memerlukan pembelaan diri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri,” katanya.
Atas faktor itu, beliau berkata, untuk mengisi kekosongan yang dahulu diperjuangkan BN, PN yang diterajui Bersatu dan Pas sebagai alternatif kepada pengundi Pelangai.
“Saya menyeru kepada semua pengundi di DUN Pelangai agar memberikan undi kepada calon PN untuk menjadikan kerusi DUN Pelangai sebagai kerusi ke-18 gabungan itu. Insya-Allah.
“Mudah-mudahan dengan kemenangan kerusi Pelangai nanti, kerajaan UMDAP di Pahang tidak dapat bertahan lama dan akhirnya PN boleh membentuk kerajaan baru.
“Saya percaya ada juga dalam kalangan ADUN UMNO yang dalam hati kecil mereka tidak menyokong kejasama UMNO-DAP. Sebagai rekod untuk makluman, rang undang-undang (RUU) Anti lompat Parti di Pahang masih lagi belum dibawa ke DUN Pahang untuk dibahas dan diluluskan. Tepuk dada tanya selera,” katanya. – UTUSAN