JOHOR BAHRU: Perikatan Nasional (PN) didakwa mengamalkan politik tidak matang serta tiada agenda yang ingin diketengahkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) dilihat tidak ubah seperti parti politik ‘scammer’.
Naib Presiden DAP, Nga Kor Ming berkata, keadaan itu berbeza dengan gabungan politik Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang jelas misinya untuk membangunkan negara dan merancakkan aktiviti ekonominya.
Beliau berkata, ini memudahkan bagi pengundi di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram untuk membuat pilihan calon yang akan dipilih pada hari mengundi esok.
“PN ini saya lihat sudah ketandusan idea, mereka tak tahu apa yang dilakukan sehingga sanggup keluar fatwa haram jika undi Suhaizan Kayat serta menjanjikan syurga buat penyokongnya. Mereka ini tidak ubah sebagai penunggang agama.
“Ini bukanlah kematangan politik yang harus dipersembahkan kepada rakyat, ia berbeza dengan PH-BN yang mahu memajukan negara, meningkatkan peluang perniagaan, menarik pelaburan dan pelbagai lagi.
“Saya fikir ini adalah perbandingan yang cukup jelas dan pemilih seharusnya sudah mendapat gambaran jelas gabungan politik yang perlu mereka undi esok,” katanya pada Ceramah Perpaduan Pulai Grand Finale di kawasan letak kenderaan di Pasar Awam Perling, di sini malam ini.
Yang turut hadir, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong; Timbalan Speaker DUN Johor, Datuk Samsolbari Jamali dan calon PH, Suhaizan Kayat.
Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, pengundi perlu jelas bahawa undi kepada calon yang disokong BN itu bermakna undi untuk kestabilan negara.
Beliau berkata, negara tidak lagi boleh berdepan episod pergolakan politik yang tiada kesudahan sehingga menyebabkan ringgit jatuh dan pelaburan asing hilang kepercayaan terhadap pentadbiran kerajaan.
“Malaysia di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru mula nak stabil. Jadi, kita kena bagi sokongan, Bangsa Johor merupakan benteng terakhir kerajaan perpaduan, ia perlu dipertahankan,” katanya. – UTUSAN