KOTA BHARU : Yayasan Anugerah Puteri Maha Chakri (PMCA) bercadang melaksanakan program pertukaran pelajar dan guru antara Thailand-Malaysia dalam usaha berkongsi budaya serta teknologi pendidikan antara dua negara.
Pengerusinya, Dr. Krissanapong Kirtikara berkata, sebagai permulaan program itu dapat dilaksanakan menerusi pertukaran pelajar dan guru di negeri ini yang bersempadan dengan Thailand.
Menurutnya, untuk itu PMCA bersedia untuk mengadakan perbincangan secara rasmi bersama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi merealisasikan cadangan tersebut.
“Menerusi program pertukaran pelajar ini, ia dapat membantu meningkatan perkongsian serta kerjasama beberapa strategi dalam pendidikan di antara kedua-dua negara.
“Pertukaran pelajar serta guru ini mungkin boleh dilaksanakan pada musim cuti sekolah yang akan datang dengan mengadakan pelbagai program,”,”katanya kepada pemberita selepas Lawatan Delegasi PMCA ke Malaysia 2023 di Sekolah Kebangsaan Raja Bahar di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Pembangunan Profesionalisme, Shafruddin Ali Hussin.
Krissanapong memberitahu, setakat ini Thailand telah menjalinkan kerjasama menerusi program pertukaran pelajar dan guru di beberapa negara seperti Laos dan Kemboja.
Dalam perkembangan lain, Krissanapong berkata, Anugerah PMCA diberikan oleh Kerajaan Thailand sebagai penghargaan di atas pencapaian guru dalam memartabatkan aspek pendidikan.
Katanya, pemilihan bagi anugerah ini dilakukan dua tahun sekali yang melibatkan penyertaan daripada guru-guru dari negara Asia Tenggara termasuk Timor Leste.
“Ini adalah sebagai pengiktirafan kepada sumbangan guru dalam membangunkan sektor pendidikan dengan amalan cemerlang untuk memberi inspirasi dan menjadi contoh kepada guru lain di Asia Tenggara.
“Di samping itu, ia juga menyokong dan mempromosi perkembangan profesion pendidikan selain mengukuhkan hubungan antarabangsa dalam bidang pendidikan,” katanya.-UTUSAN