Pesakit kencing manis sebak terima bantuan Perkeso, TH

Pesakit kencing manis sebak terima bantuan Perkeso, TH

NORA Yaacob (tiga kiri) menyampaikan peralatan perniagaan kepada Kamarudin Mohd. Din di rumahnya di Taman Sabariah, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan-UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang penghidap diabetes yang sudah dipotong kaki kanannya sebak selepas menerima peralatan perniagaan bernilai RM4,000 untuk kedai runcitnya sumbangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Lembaga Tabung Haji (TH).

Kamarudin Mohd. Din 52, berkata, sumbangan peralatan berupa alat pengisar, peti sejuk beku dan peti simpanan itu akan digunakan untuk jualan pelbagai jenis jus buah-buahan, air kotak, air tin selain air mineral di kedainya.

Menurutnya, sumbangan tersebut dapat membantu dia mengembangkan prospek perniagaan kedai runcit yang diusahakannya.

“Sebelum ini, saya bekerja sebagai penguji makanan di sebuah syarikat serbuk perisa di ibu negara. Selepas itu, saya berpindah dan bekerja di sebuah pasar raya di Kubang Kerian di sini.

“Saya terpaksa berhenti kedua-dua kerja tersebut akibat penyakit diabetes kronik sebelum mengambil keputusan untuk membuka kedai runcit kira-kira tiga tahun lalu.

“Saya menghidap kencing manis selama 12 tahun sehingga kaki kanan terpaksa dipotong Mei tahun lalu. Keadaan itu menyebabkan saya mengalami kemurungan hampir setahun dan perlu memakai kaki palsu bermula Februari lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Sabariah, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Kamarudin memberitahu, dia bersyukur kerana ada pihak sudi membantunya yang memerlukan bantuan untuk menambahkan pendapatan bulanan bagi menyara isteri, Husyarmila Shafie, 52, bersama dua anak berusia 15 tahun yang merupakan orang kelainan upaya dan 21 tahun.

Menurutnya, selepas berhenti kerja di sebuah syarikat serbuk perisa, dia membuka kedai runcit dan memperoleh pendapatan dengan untung bersih antara RM200 hingga RM300 sebulan.

Menurutnya, kekangan kesihatan yang dialaminya melayakkan dia menerima bantuan bulanan sebanyak RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bermula Januari lalu.

“Bantuan JKM itu sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan keluarga termasuk anak perempuan sulung yang akan menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata, pihaknya
sudah membantu seramai 1,723 Orang Berinsurans (OB) di seluruh negeri yang mengalami hilang upaya akibat kecederaan, sakit kronik dan kemalangan menerusi program Return to Work (RTW).

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 1,162 OB sudah kembali bekerja sejak enam tahun lalu.

“Perkeso juga menjalinkan kerjasama dengan TH untuk membantu OB menjana pendapatan secara berdikari menerusi aktiviti keusahawanan.

“Kerjasama ini dijalankan menerusi Program Cakna Prihatin yang juga program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diilhamkan oleh cawangan RTW Perkeso bertujuan untuk membantu lebih ramai peserta kembali bekerja,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya