PASIR MAS: Permintaan beras putih tempatan di Kelantan meningkat sebanyak 50 peratus susulan harga beras import meningkat sejak kebelakangan ini.
Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Kelantan, Datuk Aimi Jusoh berkata, kenaikan harga beras import dilihat memberi kesan besar kepada permintaan beras putih tempatan.
“Permintaan tinggi terhadap beras tempatan di Kelantan khususnya berlaku atas tiga faktor. Punca pertama adalah berlaku pembelian panik dan orang ramai mula beralih kepada beras putih tempatan disebabkan harga beras import mahal.
“Faktor paling utama adalah kualiti beras putih tempatan yang dijual pada harga yang berpatutan,” katanya pada sidang akhbar Isu Beras Putih Tempatan (SST) dan Pelancaran Jualan Beras Putih Tempatan di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kangkong di sini hari ini.

Aimi yang juga Pengerusi PPK Kangkong memberitahu, bekalan beras putih tempatan masih mencukupi meskipun berlaku peningkatan permintaan terhadap beras tersebut ketika inu.
Katanya, PPK Kangkong mempunyai kilang padi yang turut berperanan sebagai pengedar dan peruncit bagi memasarkan beras putih tempatan.
“Ini merupakan hasil usaha seramai 5,000 ahli PPK Kangkong yang menanam padi di kawasan sawah seluas 2,400 hektar.
“Hasil tuaian padi akan diagihkan kepada 27 kawasan PPK terpilih bagi memenuhi permintaan beras di Kelantan. Pengedaran sebanyak 100 kampit beras turut dilakukan dua kali seminggu,” ujarnya.
Aimi berkata, sekampit beras putih tempatan seberat lima kilogram (kg) yang dihasilkan oleh PPK Kangkong dijual pada harga RM13 manakala 10 kg pula berharga RM25.50.
Katanya, harga beras PPK Kangkong yang berkualiti itu jauh lebih murah dan berpatutan berbanding beras import.-UTUSAN