ARAU: Hujan lebat berterusan sejak tiga hari lalu menyebabkan beberapa kawasan rendah di sekitar negeri ini mula dinaiki air.
Antara kawasan terlibat setakat ini, Kampung Ulu Pauh dan Kampung Titi Besi di sini dengan membabitkan 15 kediaman yang dinaiki air pada paras betis.
Manakala paras air di beberapa sungai juga menunjukkan pada para amaran dan bahaya dengan hujan dilihat terus berterusan.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar negeri, Megat Hashirat Hassan berkata, bagi kawasan Kampung Titi Besi, seramai 70 mangsa dilaporkan terjejas.
“Bagaimanapun sehingga kini, tiada mana-mana mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan agensi berkaitan sentiasa memantau perkembangan terkini memandangkan hujan masih berlarutan.
“Agensi-agensi berkaitan juga telah bersiap sedia sejak semalam di Kampung Ulu Pauh bagi menghadapi sebarang kemungkinan untuk pemindahan ke PPS,” katanya turun padang meninjau situasi banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pauh, di sini, hari ini.
Antara agensi yang turut sama turun padang adalah membabitkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pertanian Muda (MADA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa lagi.
Setakat pukul 8 pagi, Sungai Jarum dilaporkan berada pada paras bahaya dengan merekodkan paras air 34.31 meter manakala Sungai Arau pula berada pada tahap amaran dengan paras air 6.85 meter.
Selain itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melaporkan sehingga ini, sebanyak 13 rumah turut terjejas dengan kejadian ribut membabitkan kawasan Padang Besar Selatan, Jelempok, Sentua, Sungai Berembang dan Sungai Padang.
Dalam pada itu, Megat Hashirat yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh berkata, antara pendekatan segera dilaksanakan bagi menangani banjir di Kampung Ulu Pauh adalah dengan menyalurkan sebahagian air dari Sungai Alor Melaka ke Sungai Arau.
“Itu antara pendekatan yang kita kenal pasti untuk dilaksanakan segera bagi memastikan sistem saliran tidak terganggu susulan keadaan hujan berterusan ini,” katanya.
Sementara itu, seorang mangsa banjir di Kampung Titi Besi, Ahmad Yahaya, 77, berkata, rumahnya mula dinaiki air sejak petang semalam bermula daripada bahagian dapur susulan daripada hujan berterusan itu.
Katanya, namun begitu, dia sempat memindahkan barang-barang penting sebelum paras air naik.
“Kami empat beranak juga masih tinggal di rumah ini bagaimanapun jika keadaan makin teruk, kami akan pindah ke PPS bagi menggelakkan risiko bahaya,” katanya.-UTUSAN