TELUK INTAN: Selain Menara Condong, Pulau Bangau iaitu sebidang tanah beting di Sungai Perak yang menjadi tempat burung hijrah bersarang, menjadi tarikan pelancong yang semakin popular di daerah ini.
Tarikan ke pulau itu adalah keindahan melihat panorama ketika matahari terbenam apabila beribu-ribu ekor burung pelbagai spesis terbang pulang ke sarang berkawanan.
Bagi pengusaha bot pelancong, River Cruise Sungai Perak yang membawa pelancong ke pulau tersebut, Muhammad Sahril Mustafa, Pulau Bangau adalah destinasi pelancongan pesisiran sungai yang unik kerana habitat burung pelbagai spesies hanya ada di situ.
Katanya, untuk itu keunikan yang terdapat di Pulau Bangau harus digunakan sebaik mungkin untuk merancakkan ekonomi tempatan, apatah lagi sempena Tahun Melawat Perak tahun depan.
“Dari segi pelancongan pesisiran sungai di negeri ini, kami di sini menyediakan perkhidmatan membawa pelancong menyusuri Sungai Perak dan ini disokong dengan kewujudkan Pulau Bangau.
“Apa yang menggembirakan kami ialah usaha kerajaan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yang memberi perhatian memajukan pelancongan pesisir sungai terutama di sini.
“Ini dapat dilihat apabila kerajaan negeri membina kemudahan awam seperti jeti baharu menggantikan jeti lama, kemudahan tandas dan surau yang selesa untuk pelancong.
“Usaha ini sejajar dengan matlamat yang digariskan di bawah program Perak Sejahtera 2030 untuk memajukan industri pelancongan termasuk pelancongan eko,” katanya.
Muhammad Sahril berkata, difahamkan kerajaan negeri kini giat mempromosikan Pulau Bangau sebagai antara destinasi pelancongan eko di Perak sempena Tahun Melawat Perak 2024.
“Pengusaha pelancongan eko di sini berterima kasih kepada kerajaan negeri yang melaksanakan pelbagai perancangan untuk memelihara pulau ini.
“Umpamanya, sebelum ini difahamkan terdapat rancangan untuk membina jeti di pulau tersebut untuk bot pelancong menghampiri tebing semasa air surut namun kajian mendapati ia tidak sesuai kerana pulau tersebut tidak boleh dikacau ganggu, perubahan ekologi mungkin akan mengancam habitat di situ.
“Jadi, kerajaan negeri tidak benarkan buat apa jua pembangunan dibuat di pulau itu untuk menjaga ekologi dan habitat burung di situ,” katanya. – UTUSAN