SUNGAI SIPUT: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong di sini yang memiliki prasarana lengkap pertama untuk pelajar Orang Asli di negara ini mengubah pandangan masyarakat peribumi itu terhadap pentingnya pendidikan masa depan.
Tok Batin Kampung Bawong, Jeffridi Abas berkata, SMK Bawong yang menjadi satu-satunya sekolah menengah harian di kampung Orang Asli yang memiliki kemudahan asrama lelaki dan perempuan, menjadi kebanggaan masyarakat itu keseluruhannya untuk melihat pendidikan dalam kalangan peribumi itu ditingkatkan.
Menurutnya, walaupun sekolah tersebut adalah projek kerajaan Persekutuan, namun kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad prihatin dalam membantu keperluan pelajar di sekolah itu.
Beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Bawong berkata, ini dapat dilihat menerusi pelbagai bantuan dan sumbangan persekolahan yang diberikan secara berterusan kepada pelajar di sekolah itu.
“Kerajaan negeri memberi perhatian terhadap pendidikan anak-anak Orang Asli, kerajaan negeri memang ambil berat soal keperluan pelajar di sekolah ini.
“Kadang kala bantuan seperti buku dan lain-lain keperluan persekolahan diberikan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
“Ada juga bantuan yang diberikan secara terus kepada pihak sekolah, bergantung kepada bentuk bantuan yang diperlukan oleh pelajar.
“Kami masyarakat di sini amat berterima kasih kepada kerajaan negeri.
“Keprihatinan kerajaan negeri membantu pelajar Orang Asli jelas menunjukkan soal pendidikan rakyat menjadi keutamaan seperti yang digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri juga memberi perhatian dalam pendidikan agama untuk pelajar di sekolah itu menerusi program melahirkan imam cilik dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), pihak sekolah dan Masjid Kampung Bawong.
“Menerusi program ini, kami sediakan masjid dan tenaga pengajarnya daripada JAIPk yang membimbing pelajar mengenai solat dan diharapkan mereka boleh menjadi imam kerana banyak surau di kampung-kampung Orang Asli di sini yang tiada imam,” katanya.
Menurutnya, dengan kemudahan pendidikan yang disediakan di sini juga bantuan kerajaan negeri, ini memberikan kesedaran kepada masyarakat Oang Asli terhadap pentingnya pendidikan.
“Kesedaran mengenai pentingnya pendidikan itu sudah ada, sekurang-kurangnya mereka sudah mula mengetahui hakikat kehidupan dan mahu maju menerusi pendidikan,” katanya. – UTUSAN