PASIR MAS: Seorang penyeludup nyaris maut selepas pacuan empat roda yang dipandunya membawa membuat minyak masak peket untuk diseleweng ke negara jiran terbalik semasa melalui selekoh berhampiran persimpangan lampu isyarat Kampung Gaung dekat jalan pintasan Pasir Mas di sini semalam.
Kejadian itu berlaku semasa suspek berusia 29 tahun sedang melarikan diri selepas dikejar oleh anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan.
Pengarahnya Azman Ismail berkata, sebelum itu pihaknya telah mengesan kenderaan tersebut yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Selising, Pasir Puteh selepaz bertindak atas maklumat risikan.
Menurutnya, menyedari kehadiran anggota penguat kuasa KPDN Kelantan suspek telah bertindak memecut laju bagi mengelakkan daripada ditahan.
“Kita telah kejar suspek sejauh 50 kilometer (km) melalui jalan Kok Lanas-Kemudi- Pendek menghala ke Pasir Mas.
“Sejurus tiba di persimpangan lampu isyarat Kampung Gaung, Pajero suspek telah dihalang kawalan semasa melalui selekoh itu dan kemudian terbalik ke laluan bersebelahan,” katanya dalam satu kenyatan di sini hari ini.
Azman memberitahu, anggota bertugas kemudian telah bertindak menahan suspek untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas pacuan empat roda itu membawa kepada penemuan 1,349 peket minyak masak bersubsidi berjumlah RM3372.50.
“Kes di siasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” ujarnya.-UTUSAN