TAMPIN: Dua individu maut selepas terbabit dalam kemalangan tiga buah kenderaan di Kilometer 3.5, Jalan Pasir Besar ke Palong, di sini pada pukul 10 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, kemalangan berkenaan melibatkan sebuah motosikal jenis Honda X-ADV 750cc serta dua buah kereta jenis Proton Saga dan Proton Preve.
Menurutnya, dua individu yang maut berkenaan merupakan penunggang dan pembonceng motosikal yang hubungan antara kedua-duanya masih belum dapat dipastikan.
“Hasil siasatan awal mendapati penunggang serta pembonceng motosikal dari Melaka mahu ke Triang, Pahang menggunakan Jalan Pasir Besar-Palong.
“Apabila sebaik sampai di satu selekoh motosikal telah termasuk ke laluan bertentangan lalu bergesel dengan sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu oleh seorang lelaki warga emas berusia 68 tahun.
“Penunggang motosikal telah hilang kawalan dan melanggar sebuah lagi kereta jenis Proton Preve yang berada di belakang kereta jenis Proton Saga.
“Akibat kemalangan itu, penunggang dan pembonceng masing-masing berumur 58 tahun dan 56 tahun. Kedua-dua mangsa lelaki dan perempuan itu meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Anuwal lagi, mayat kedua-dua mangsa telah di hantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Tampin bagi tujuan bedah siasat.
Sehubungan itu menurutnya, sekiranya orang ramai mempunyai maklumat berkenaan kemalangan jalan raya terbabit diminta untuk tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Tampin di talian 06-4412502 atau 06-4431999 bagi membantu siasatan.-UTUSAN.