PORT DICKSON: Seorang penternak kerbau kesal apabila sembilan ekor haiwan ternakannya itu mati dipercayai diracun dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Barisan, Sua Betong, di sini, sejak semalam.
Penternak berkenaan, G. Yoovan Kumar, 24, berkata, pada mulanya dia terkejut apabila mengetahui terdapat tiga ekor kerbaunya mati dan kemudian menemui satu bekas berisi gula merah yang bercampur racun sekitar lokasi tersebut.
Menurutnya, sehingga pagi tadi, sebanyak sembilan ekor kerbau dari pelbagai baka termasuk kerbau sapi jantan seberat 900 kilogram yang berharga RM12,000 ditemukan mati.
“Saya dan keluarga telah menternak kerbau di kawasan ini selama tiga generasi generasi ketiga dan kejadian seperti ini tidak pernah berlaku. Kami ada sebanyak 150 ekor kerbau, sembilan sudah mati dan 13 ekor lagi kerbau lagi masih hilang.
“Kami bimbang ternakan yang tinggal ni turut telah terminum racun dan mati dalam tempoh terdekat kerana saya menemui tiga bekas mengandungi gula merah dan racun di kawasan berhampiran,” katanya kepada pemberita di sini.
Yoovan Kumar lagi, susulan kejadian tersebut, dia telah membuat laporan di Balai Polis Linggi, petang semalam.
“Pihak polis juga telah hadir ke lokasi bagi menjalankan siasatan. Kakitangan Jabatan Veterinar juga sudah datang pagi tadi bagi mengambil sampel organ kerbau yang mati untuk tindakan selanjutnya,” katanya yang memberitahu kejadian tersebut telah menyebabkannya mengalami kerugian besar.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.-UTUSAN.