Penolong Pegawai Perubatan mengaku tak salah lakukan amang seksual - Utusan Malaysia

Penolong Pegawai Perubatan mengaku tak salah lakukan amang seksual

SEORANG Penolong Pegawai Perubatan di HSA mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak saudaranya yang berusia 14 tahun, April lalu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang Penolong Pegawai Perubatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak saudaranya yang berusia 14 tahun, April lalu.

Tertuduh yang berusia 31 tahun membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Siti Noraida Sulaiman.

Dalam pertuduhan pertama, dia didakwa telah meminta mangsa menjilat kemaluannya, manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah memeluk, meraba dan memasukkan kemaluannya ke dalam kemaluan mangsa.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di kediaman tertuduh di Kuarters HSA, pada pukul 1.20 pagi, 20 April lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(b) dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun berserta sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shadudin memohon mahkamah memberi jaminan sebanyak RM40,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan, iaitu dilarang mengganggu saksi atau mangsa dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali. 

Walau bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Abd. Rahim Ali memohon mahkamah memberikan jaminan minimum kerana tertuduh merupakan pencari nafkah tunggal dalam keluarga.

“Tertuduh mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja dan tiga anak kecil berusia antara lima bulan hingga enam tahun. Tertuduh juga tidak mempunyai sebarang risiko melarikan diri kerana masih bertugas sebagai seorang penjawat awam,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dijamin sebanyak RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta syarat tambahan, iaitu dilarang mengganggu saksi atau mangsa dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Siti Noraida turut menetapkan 22 November depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN