Peniaga tak mengaku salah cederakan amah - Utusan Malaysia

Peniaga tak mengaku salah cederakan amah

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan pembantu rumahnya menggunakan batang besi pembersih hampagas, minggu lalu.

Mengikut pertuduhan, Lee Chee Huat, 46, didakwa menyebabkan kecederaan ke atas warga Indonesia, Darsinih, 29, dalam kejadian pada  pukul 10.30 pagi, 22 September di sebuah unit kondominium, Jalan Prima 10, Metro Prima dekat sini.

Pertuduhan ke atas lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan  dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamalludin Akbal tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan pertuduhan tersebut merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin (unbailable offence).

Bagaimanapun, peguam bela, Vincent Chow yang mewakili tertuduh memohon agar anak guamnya dibebaskan dengan ikat jamin pada jumlah yang rendah.

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan kedua-dua belah pihak menetapkan wang jamin RM2,500 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 3 November ini.

Media sebelum ini melaporkan, kira-kira pukul 3 petang Jumaat minggu lalu, mangsa yang berusia 29 tahun itu dilihat berada di pintu rumah di sebuah apartment selama 15 minit sambil memerhatikan pekerja sebuah syarikat logistik memindah masuk barang di rumah jirannya.

Wanita itu kemudian memberanikan diri meminta bantuan daripada pekerja terbabit untuk membantu menyelamatkannya dengan menghubungi pihak berkuasa selepas mendakwa dipukul majikan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN