Penguatkuasa disaran ambil tindakan guna budi bicara - Peka - Utusan Malaysia

Penguatkuasa disaran ambil tindakan guna budi bicara – Peka

ZUHAIRI AB KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Semua penguatkuasa di negara ini disaran menggunakan budi bicara dan perikemanusiaan dalam mengambil sebarang tindakan termasuk mengeluarkan kompaun yang sesuai berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) berpandangan, budi bicara merujuk kepada hak atau kuasa membuat keputusan atau mengambil tindakan yang dibuat dengan bijaksana tanpa dipengaruhi oleh orang lain dan tidak bercanggah dengan undang-undang.

Ia bukan sahaja membabitkan agensi penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) malah semua yang terlibat dalam bidang penguatkuasaan antaranya termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Presiden Peka, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, ketegasan dalam pelaksanaan hukuman berkaitan pelanggaran SOP adalah perlu bagi tujuan mendidik dan memberikan kesedaran kepada bukan sahaja pesalah malah orang ramai.

“Ketegasan itu penting untuk memastikan peraturan dipatuhi tetapi dalam masa yang sama, perlu ada budi bicara dan perikemanusiaan atas tindakan yang diambil dalam ruang lingkup undang-undang.

“Kita tidak sesekali mahu mengagungkan pesalah. Sebab itu kita cuma minta penguatkuasa bijak menjatuhkan hukum menggunakan konsep budi bicara dengan sebaik mungkin tanpa menjejaskan SOP dalam tugasan penguatkuasaan,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu tular di media sosial video berdurasi 18 saat yang memaparkan seorang pekerja p-hailing berjalan kaki sambil menggalas beg penghantaran.

Video itu telah membawa pelbagai reaksi pengguna media sosial termasuk bersimpati dengan pekerja p-hailing tersebut.

Sebagai maklum balas, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menerusi kenyataan menjelaskan, tindakan menyita motosikal yang ditunggang oleh pekerja p-hailing itu bertujuan menjaga keselamatan dirinya serta pengguna jalan raya yang lain.

Menurut kenyataan agensi itu lagi, tindakan tersebut diambil selepas mendapati pekerja Food Panda tersebut melakukan kesalahan menunggang motosikal semasa Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada insurans.

Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, hukuman mesti wujud dan berjalan, namun di sudut pelaksanaannya, ia mesti dipenuhi budi bicara dengan menilai matlamat maslahah.

“Kita berharap pihak penguatkuasa ketika melaksanakan tugas perlu memahami sewajarnya undang-undang yang hendak dikuatkuasakan dan impak negatif akan berlaku bagi setiap tindakan yang diambil,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, Peka berharap berharap semua pihak dapat mematuhi segala. SOP yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Namun dalam masa yang sama juga berharap agar pihak berkuasa menggunakan budi bicara dalam melaksanakan tindakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya