KOTA BHARU: Seorang pemilik kedai aksesori di Wakaf Siku, Jalan Kuala Krai berhampiran pusat beli-belah KB Mall di sini berdepan kerugian selepas premis itu terbakar tengah hari tadi.
Kejadian pukul 1.20 tengah hari ini berlaku ketika pemilik premis berkenaan yang berusia lingkungan 40-an sedang melakukan kerja-kerja pendawaian elektrik pada sebuah kereta milik pelanggannya.
Saksi kejadian, Ismail, 43, berkata, kebakaran dipercayai berlaku di kawasan tengah premis semasa pemilik kedai itu sedang bekerja.
“Saya lihat dia bergegas masuk ke dalam kedai untuk mengambil beg miliknya sebelum api semakin merebak. Keadaan itu menyebabkan dia terus menyelamatkan dua buah kereta milik pelanggan yang berada di depan kedainya.
“Orang awam yang berada berhampiran premis berkenaan segera menghubungi pihak bomba,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di lokasi kejadian hari ini.
Bagaimanapun, pemilik premis berkenaan gagal ditemui di lokasi kejadian kerana panik dengan kejadian tersebut.
Sementara itu, Ketua Zon Bomba Kota Bharu 1, Penguasa Kanan Bomba II, Khairul Ariffin Che Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.21 tengah hari.
Katanya, seramai 25 pegawai dan anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu Tunjung dan Kota Darulnaim ke lokasi kejadian.
“Operasi pemadaman kebakaran dijalankan sehingga pukul 5 petang tadi di bangunan empat tingkat itu. Anggota bomba juga menggunakan tangga cakera putar untuk memadamkan api.
“Anggota bomba turut mendapat bekalan air daripada Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) yang berdekatan berikutan bekalan air dari pili bomba tidak mencukupi. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.-UTUSAN