GUA MUSANG: Seorang pemandu dan kelindan lori ais terkejut melihat seekor harimau belang berkeliaran di jalan dekat Bukit Meranto di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, pemandu lori, Che Fiti Zulhilmi Che Leh, 22, sempat merakam pergerakan haiwan liar tersebut yang berjalan di kawasan berkenaan.
Che Fiti Zulhilmi berkata, semasa kejadian dia bersama kelindan, Mohd. Amir Saari, 25, dalam perjalanan pulang dari arah Jeli menuju ke Gua Musang.
Menurutnya, ini merupakan kali kedua mereka terserempak dengan pak belang di lokasi yang sama.
“Harimau tersebut kemudiannya melompat besi penghadang jalan dan masuk ke dalam semak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Che Fiti Zulhilmi memberitahu, dia berharap pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menangkap segera harimau belang itu.
Katanya, jika tiada tindakan segera diambil berkemungkinan besar haiwan liar itu boleh mengganggu pengguna jalan raya sekali gus mengundang risiko kemalangan.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya telah menerima aduan berkaitan kejadian yang berlaku semalam.
Katanya, pihaknya sudah ke tempat kejadian dan menjalankan siasatan lanjut.
Terdahulu tular rakaman video yang memaparkan kelibat seekor harimau belang berkeliaran di jalan bukit dekat Mentaro semalam.-UTUSAN