Pemandu Honda maut dirempuh Mercedes-Benz - Utusan Malaysia

Pemandu Honda maut dirempuh Mercedes-Benz

KEADAAN Honda CRV yang remuk dirempuh sebuah Mercedes-Benz di KM1.1, Jalan Permas-Tanjung Bin, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Seorang pemandu terbunuh apabila Honda CRV yang dipandunya dirempuh oleh sebuah Mercedes-Benz di KM1.1, Jalan Permas-Tanjung Bin di persimpangan empat, Lorong Haji Sakyon, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, mangsa, Vu Tat Shin, 42, maut di tempat kejadian, manakala empat penumpang, Loo Chee Hung, 42, Chia Tian Chye, 39,  Gan Tie Ching, 36, dan Gan Cher Voon, 39, mengalami kecederaan pada bahagian dada dan kepala. 

Mayat mangsa dan kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Pontian untuk bedah siasat dan menerima rawatan lanjut.

Sementara itu, pemandu Mercedes-Benz, Go Yo Farn, 29, turut mengalami kecederaan pada bahagian dada dan kini dirawat di Hospital Gleneagles, Johor Bahru untuk rawatan lanjut.

“Pemandu Honda CRV yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang turut berada di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohammad Shofee berkata dalam kejadian pada pukul 9.20 malam, kereta Honda CRV tersebut dirempuh di bahagian tepi kanan akibatnya, kedua-dua kenderaan tersebut jatuh ke dalam parit yang mengandungi air sedalam paras lutut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)  1987.

Sementara itu, Komander  Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Hasnan Abd. Rahman memberitahu, pihaknya menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam Honda CRV itu.

Pihaknya turut memberikan bantuan awal kepada mangsa-mangsa yang mengalami kecederaan sebelum dihantar ke hospital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN