Pelajar kolej didakwa lakukan amang seksual terhadap junior - Utusan Malaysia

Pelajar kolej didakwa lakukan amang seksual terhadap junior

SEORANG pelajar kolej kemahiran didakwa di Mahkamah Sesyen Muar atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua pelajar junior.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Seorang pelajar kolej kemahiran didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual terhadap dua pelajar junior dalam asrama dan tandas, awal bulan ini.

Walau bagaimanapun, tertuduh yang berusia 18 tahun mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan tersebut yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menyuruh seorang pelajar junior berusia 17 melakukan seks oral di dalam tandas kolej terbabit pada pukul 3.15 pagi, 5 September lalu.

Bagi pertuduhan ini, dia didakwa di bawah Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan jijik terhadap seorang lagi pelajar junior di asrama penginapan kolej terbabit pada pukul 4 petang, 7 September lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 14 (d) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Selepas meneliti hujahan serta rayuan tertuduh, mahkamah  membenarkannya dikenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan dua syarat tambahan, iaitu perlu melaporkan diri setiap bulan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak serta tidak boleh mengganggu atau menghubungi kedua-dua mangsa.

Abu Bakar kemudian menetapkan 23 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN