JELEBU: Sebanyak RM6.7 juta disasarkan dapat dijimatkan oleh pihak Jabatan Perikanan Malaysia dalam tempoh 20 tahun bermula tahun hadapan menerusi pemasangan panel solar di Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami Lemi di sini.
Pengarah Kanan IPP Jabatan Perikanan, Dr. Azhar Hamzah berkata, bagi tahun pertama, dijangkakan sebanyak RM130,000 dapat dijimatkan sekali gus mengurangkan perbelanjaan kos bayaran utiliti bulanan jabatan berkenaan.
“Panel solar itu dianggarkan boleh menjana kuasa maksimum sebanyak 572 kilowatt akan dipasang pada bumbung bangunan IPP tersebut. Ia merupakan penjimatan segera yang akan dinikmati oleh IPP Glami Lemi dan Jabatan Perikanan tanpa mengeluarkan sebarang kos pemasangan serta penyelenggaraan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perjanjian Bekalan Boleh Diperbaharui di antara Jabatan Perikanan dan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) melalui anak syarikatnya GSPARX Sdn. Bhd. di IPP Glami Lemi di sini hari ini.
Perjanjian itu ditandatangani Azhar bersama Ketua Retail Negeri TNB Negeri Sembilan, Abd. Manan Abd Rahman dan Ketua Perolehan dan Sokongan Perniagaan GSParx Sdn. Bhd. Ahmad Tarmizi Mohd.
Yang hadir sama, Pengarah IPP Glami Lemi, Dr. Siti Norita Mohamad.
Sementara itu, jelas Azhar, kebanyakan teknologi yang telah dibangunkan oleh IPP perlu menggunakan tenaga seperti penggunaan pam dan pengudaraan tetapi aplikasinya tidak dapat direalisasikan kerana ketiadaan sumber elektrik.
“Oleh itu, pengenalan panel solar sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui di dalam industri perikanan dijangka dapat menggalakkan lagi aktiviti penyelidikan dan penternakan di kawasan-kawasan yang sukar mendapat bekalan sumber elektrik.-UTUSAN.