Pas terkejut pempetisyen PRU-15 Gua Musang pecat barisan peguam

Pas terkejut pempetisyen PRU-15 Gua Musang pecat barisan peguam

TAKIYUDDIN Hassan menunjukkan surat pemecatan barisan peguam pempetisyen PRU-15 bagi Parlimen Gua Musang di pejabatnya di Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tindakan pihak pempestisyen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Parlimen Gua Musang memecat barisan peguamnya yang mengendalikan kes berkenaan hari ini amat mengejutkan Pas.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang merupakan ketua barisan peguam mewakili Ahli Parlimen Gua Musang Mohd. Azizi Abu Naim berkata, pemakluman mengenai perkara tersebut diketahui pada pagi tadin semasa mahu mengendalikan kes berkenaan.

Menurutnya, sejurus menerima pemakluman itu mahkamah telah membuat keputusan bahawa barisan peguam pempetisyen tidak lagi mempunyai kelayakan mewakili kes berkenaan.

“Apabila Mahkamah Pilihan Raya memanggil pempestisyen dia tidak hadir dan pecat barisan peguam. Atas kapasiti itu pihak kami memohon mahkamah untuk membatalkan petisyen ke atas Ahli Parlimen Gua Musang itu,” katanya semasa sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberitahu, susulan pembatalan yang dibuat oleh pihak pempetisyen mahkamah telah memberikan kos sebanyak RM80,000 kepada responden iaitu Ahli Parlimen Gua Musang.

Utusan Online hari ini melaporkan, seorang pengundi Barisan Nasional (BN) gagal mencabar kemenangan calon Pas, Mohd. Azizi Abu Naim bagi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu selepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini membatalkan petisyen yang difailkannya.

Hakim Datuk Amarjeet Singh yang bertindak selaku Hakim Pilihan Raya membatalkan petisyen yang difailkan oleh Mohd. Azmi Mahmood mewakili calon BN, Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau memutuskan demikian selepas Mohd. Azmi selaku pempetisyen memecat pasukan peguam daripada dua firma guaman yang mewakilinya termasuk Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk Mohd. Hafarizam Harun.

Perkembangan itu dimaklumkan kepada wakil media oleh peguam Yusfarizal Yussof yang mewakili calon Perikatan Nasional (PN), Azizi Abu Naim (responden) yang memenangi kerusi Parlimen Gua Musang.

Pada 19 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan mengembalikan petisyen itu untuk didengar di Mahkamah Tinggi Kota Bharu agar meritnya diputuskan melalui perbicaraan penuh di hadapan hakim baharu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Mohd. Azmi bahawa Mahkamah Tinggi Kota Bharu terkhilaf ketika memutuskan pemfailan petisyen dilakukan di luar tempoh masa yang ditetapkan.

Panel itu turut berpuas hati bahawa butiran petisyen yang difailkan oleh Mohd. Azmi adalah mencukupi dan memenuhi kehendak undang-undang di bawah Kaedah 4(1)(b) Kaedah-Kaedah Petisyen 1954, dibaca bersama Seksyen 32(a) Akta 5.

Pada 26 Februari lalu, Hakim Datuk Roslan Abu Bakar membatalkan petisyen Mohd. Azmi selepas memutuskan ia difailkan di luar tempoh masa yang dibenarkan iaitu 28 hari seperti yang ditetapkan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ketika membenarkan bantahan awal calon Pas, Hakim Roslan berpuas hati bahawa lantikan peguam pempetisyen (Mohd. Azmi) tidak mematuhi undang-undang yang ditetapkan mengikut Seksyen 38 akta itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN