KUANTAN: Kerajaan Pahang berhasrat menjadikan Mossy Forest di Cameron Highlands dekat sini sebagai tapak rizab biosfera kedua negeri selepas Tasik Chini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri sudah meminta Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menyiapkan kertas kerja selewat-lewatnya dalam tempoh tiga minggu bagi merealisasikan hasrat tersebut.
Katanya, ia merupakan usaha berterusan kerajaan negeri untuk memelihara Mossy Forest.
“Memang kita mengalu-alukan perkara ini. Di Pahang ini, kita tidak sekadar berpuas hati setakat apa yang kita buat.
“Sebagai contohnya hutan simpan. Walaupun kita sudah ada 136 juta hektar (hutan simpan) tapi kita takkan berhenti setakat itu. Selagi kita boleh simpan, kita akan simpan. Begitu juga dengan Mossy Forest. Kita akan teruskan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Ulu Cheka, Jerantut dan Majlis Meraikan Pengekalan Man and Biosphere (MAB) UNESCO Tasik Chini di Swiss-Belhotel di sini hari ini.
Menyentuh perkembangan keadaan Tasik Chini yang berjaya mendapat pengiktirafan semula dari Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Wan Rosdy memberitahu, keadaan di situ jauh lebih baik berbanding sebelumnya.
“Kalau ada gambar dulu dan kini memang seperti langit dan bumi bezanya. Saya dapat melihat dengan mata saya sendiri semasa saya mula-mula mendapat rungutan dari masyarakat mengatakan Tasik Chini telah musnah, boleh dikatakan 80 peratus hanya tanah sahaja, tiada rumput.
“Sekarang boleh dikatakan 80 peratus kawasan sudah ditumbuhi rumput dan saya sangat berpuas hati. Syabas dan tahniah diucapkan kepada pihak terlibat dan ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk memulihkannya kembali dengan kerjasama pelbagai pihak,” katanya.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri akan melakukan usaha berterusan untuk menambah baik Tasik Chini sekali gus mengalu-alukan apa jua cadangan dari agensi terlibat.
“Ianya usaha berterusan. Walaupun Tasik Chini sudah cantik, kita akan cantikkan lagi,” katanya.
Tasik Chini merupakan tapak rizab biosfera pertama negara yang mendapat pengiktirafan pada 2009.
Kejayaan mengekalkan status Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini dibuat semasa Mesyuarat International Coordinating Council of the 35th Session of the International Coordinating Council of Man and the Biosphere Programme (ICC MAB35) pada 13 Jun lalu di Paris setelah menepati kriteria Statutory Framework of the World Network of Biosphere Reserves (WNBR).
Pengekalan status Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini adalah sangat signifikan kepada negara kerana ia memanifestasikan usaha kolektif kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta pelbagai pemegang taruh termasuk penyelidik dan masyarakat setempat. – UTUSAN