Orang ramai serbu outlet FAMA beli beras tempatan - Utusan Malaysia

Orang ramai serbu outlet FAMA beli beras tempatan

ORANG ramai beratur panjang untuk membeli beras tempatan yang dijual di Pusat Operasi FAMA Senawang, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jualan beras putih tempatan (BPT) menerusi pelaksanaan Intervensi Pengedaran BPT melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang diadakan di Negeri Sembilan hari ini menjadi tumpuan orang ramai.

Tinjauan di Pusat Operasi FAMA Senawang di sini pagi tadi menyaksikan orang ramai berpusu dan beratur panjang untuk mendapatkan sebanyak 690 pek bungkusan BPT 10 kilogram yang dijual di situ.

Seorang peniaga, Fauziah Abu Bakar, 50, berkata, dia mengetahui terdapat jualan BPT yang diadakan di outlet FAMA itu sejak semalam menerusi media sosial.

“Memang tiada lagi jual beras tempatan di pasar raya dan kedai-kedai runcit, jadi saya terpaksa sebelum ini membeli beras import yang harganya agak mahal.

“Saya dan keluarga memang makan beras tempatan sahaja dan Alhamdulillah dapat beras tempatan 10 kilogram hari ini. Saya dapat jimat separuh perbelanjaan daripada membeli membeli beras import,” katanya.

JALALUDDIN Alias (kiri) melihat stok beras tempatan yang berada di Pusat Operasi FAMA Senawang, Seremban yang bersedia untuk dijual kepada orang ramai menerusi pelaksanaan Intervensi Pengedaran BPT-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, menerusi program intervensi itu, sebanyak 20 metrik tan BPT iaitu 2,000 pek bungkusan 10 kilogram beras itu telah diedarkan di outlet-outlet peruncitan FAMA di seluruh negeri ini.

Beliau bagaimanapun mengakui jumlah tersebut tidak mencukupi dan telah meminta supaya FAMA Negeri Sembilan untuk membuat tempahan bagi mendapatkan lagi bekalan tambahan BPT.

“Memang tidak cukup, selepas diedarkan hari ini, bekalan habis paling lewat dalam tengah hari ini, tidak sempat untuk seminggu ini. Oleh itu saya sudah minta FAMA supaya membuat pembelian lagi dan memohon untuk mendapatkan bekalan tambahan.

“Bekalan ini masih lagi tidak cukup kerana keperluan rakyat agak mendadak, jadi program ini perlu kerap kita lakukan termasuk dengan penglibatan pihak Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) selepas ini bagi pastikan beras cukup untuk orang ramai,” katanya.

Beliau yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan dalam pada itu meminta orang ramai tidak membuat pembelian panik kerana isu kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran hanya berlaku dalam tempoh sementara.

“Paling penting rakyat tidak buat pembelian panik, apabila panik akan berlaku kekurangan dan masalah kita hadapi ini akan semakin teruk,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya