Orang muda kalih, PN boleh menang Pulai - Shahidan - Utusan Malaysia

Orang muda kalih, PN boleh menang Pulai – Shahidan

SHAHIDAN KASSIM berucap pada Ceramah Kelompok di pekarangan Pejabat Pas Pulai, Tampoi Indah, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perikatan Nasional (PN) mendakwa yakin akan membolot undi golongan muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Pulai, esok kerana mereka menolak kerajaan perpaduan yang semakin celaru pada masa ini.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ini susulan pelbagai isu rakyat yang gagal diselesaikan kerajaan seperti kekurangan bekalan beras tempatan, kos sara hidup tinggi dan harga barang naik.

Menurutnya, bukan sahaja pengundi muda yang akan memberi sokongan kepada PN, malah ahli UMNO juga akan memberi undi kepada gabungan itu selepas hilang kepercayaan terhadap UMNO apabila bergabung dengan Pakatan Harapan (PH).

“Perjuangan UMNO hari ini sudah menyimpang, tak sama seperti dahulu. Pengundi di Johor ketika ini menolak kerjasama yang membabitkan DAP, tambahan pula bukan calon mereka yang bertanding pada PRK ini.

“Jadi, penyokong UMNO akan buat undi protes, kalau orang UMNO ‘swing’ sokong PN, kita akan boleh menang di Pulai dan Simpang Jeram. Ini adalah cara untuk orang UMNO ajar mereka dengan menyokong PN.

“Di Simpang Jeram, orang muda di sana menyatakan sokongan kepada PN, termasuk orang UMNO walaupun mereka tidak berani tunjuk muka. Di sini pun sama, kalau pengundi muda kalih, kita akan menang di Pulai,” katanya pada Ceramah Kelompok di pekarangan Pejabat Pas Pulai, Tampoi Indah, di sini.

Yang turut hadir, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin.

Mengulas lanjut, Shahidan yang juga bekas Menteri Besar Perlis berkata, tahap sokongan rakyat terhadap PN semakin baik sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan diterjemahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, bulan lalu.

Beliau berkata, gelombang itu dirasai ketika beliau bertanding atas tiket P dan meraih 31,458 undi menewaskan calon BN, Datuk Rozabil Abd. Rahman (8,242 undi) dan Fathin Amelina daripada PH (7,089 undi).

“Saya jangka menang 3,000 atau 4,000 sahaja, tapi pada ketika ramai orang muda balik mengundi bagi saya kemenangan dengan majoriti sebanyak 23,216 undi. Gelombang rakyat pada ketika itu cukup dahsyat.

“Saya tahu pengundi muda di sini termasuk orang UMNO juga sudah tidak sabar, menggigil tangan nak pangkah BN, sokonglah PN untuk kita mengajar mereka (PH-BN) ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN