Nik Norzrul Thani dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah USIM - Utusan Malaysia

Nik Norzrul Thani dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah USIM

TAN SRI DR. NIK NORZRUL NIK HASSAN THANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ahli jawatankuasa Pelaburan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani N. Hassan Thani dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah universiti berkenaan berkuat kuasa 1 Oktober ini sehingga 30 September 2026.

Pusat Komunikasi Strategik USIM menerusi kenyataan memaklumkan, pelantikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin itu adalah bagi menggantikan Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang bakal mengakhiri tempoh lantikannya pada 30 September ini.

“USIM mengalu-alukan pelantikan beliau ke jawatan ini oleh Menteri Pendidikan Tinggi kerana dengan kepakaran serta pengalaman yang dimiliki diharapkan dapat mengekalkan kecemerlangan universiti dalam pengintegrasian ilmu naqli dan aqli. 

“Universiti turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri atas khidmat bakti yang diberikan sepanjang beliau menjawat tugas sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti khususnya dalam meningkatkan keterlihatan (visibility) USIM di pelbagai peringkat sama ada di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Nik Norzrul Thani mempunyai Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang undang-undang dari School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London.

Beliau juga merupakan Sarjana Pelawat Fulbright di Harvard Law School, University of Harvard, Amerika Syarikat dari tahun 1996 hingga 1997 dan Chevening Fellow di Pusat Pengajian Islam Oxford, Universiti Oxford dari tahun 2004 hingga 2005. 

Beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Kulliyyah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 1987 sehingga 1996 sebelum meneruskan kerjaya dalam bidang guaman sebagai peguam antarabangsa di sebuah firma guaman antarabangsa dan terkini sebagai pengerusi/konsultan di firma guaman terbesar di Malaysia, Zaid Ibrahim & Co.

Menggunakan pengalaman sebagai pengamal undang-undang, beliau juga terlibat dalam penulisan pelbagai siri artikel dan buku khususnya dalam bidang perundangan.

Aktif dalam bidang perundangan dan merupakan figura yang amat dikenali dalam dunia korporat, beliau turut diberi tanggungjawab memegang pelbagai keahlian Lembaga Pengarah di pelbagai buah syarikat.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN