Nazri angkat sumpah jawatan ADUN Simpang Jeram - Utusan Malaysia

Nazri angkat sumpah jawatan ADUN Simpang Jeram

NAZRI ABDUL RAHMAN mengangkat sumpah sebagai ADUN Simpang Jeram pada Persidangan DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram yang baharu, Ir. Nazri Abdul Rahman mengangkat sumpah jawatan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15 di Kota Iskandar, di sini  hari ini.

Nazri, 56, yang merupakan Timbalan Ketua Bahagian Parti Amanah Negara (Amanah) Bakri mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua DUN Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram, Sabtu lalu, Nazri yang juga calon Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,514 undi.

Beliau mendapat 13,844 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Mazri Yahya yang memperoleh 10,330 undi serta calon Bebas, S. Jeghanaathan yang hanya meraih 311 undi. 

PRK DUN Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.

Dalam pada itu, Mohd. Puad merakamkan ucapan tahniah kepada Nazri yang memenangi PRK DUN Simpang Jeram dan Suhaizan Kayat juga daripada  PH di Parlimen Pulai. 

“Syukur kehadrat Illahi dan kita akan bekerjasama demi rakyat Johor. Jadi wakil rakyat sepertimana titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pelihara imej dan kredibiliti DUN Johor. 

“Selepas 18 bulan kita menjadi ADUN, sepatutnya kesemua wakil rakyat menjadi lebih berpengalaman, menjadi lebih matang,” katanya. 

Mohd. Puad turut merakamkan ucapan takziah kepada  keluarga Allahyarham Salahuddin dan memohon semua ADUN bertafakur seketika, manakala ADUN beragama Islam membaca Al-Fatihah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya