JOHOR BAHRU: Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid menafikan dakwaan seorang wanita bahawa masyarakat Melayu Johor gemar bermain judi dan majoritinya tidak solat.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa perbuatan tersebut mungkin hanya melibatkan keluarga wanita yang mendakwa perkara tersebut, dan bukan Melayu Johor secara keseluruhannya.
“Orang Melayu Johor ini sejak dari kecil sudah diajar dengan ilmu agama. Ia sudah berlaku lebih dari 100 tahun usia pendidikan agama Islam di Johor yang dimulakan sewaktu era Johor Moden di bawah pemerintahan Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Almarhum Temenggong Daeng Ibrahim pada tahun 1883.
“Baginda meminta Jabatan Pelajaran ditubuhkan untuk memajukan pelajaran anak-anak Melayu Johor termasuk pendidikan agama Islam. Bukan sahaja sejak tadika, tetapi disambung ke peringkat sekolah rendah, menengah sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi menerusi Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah) yang kini sudah dinaik taraf menjadi Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI),” katanya mengulas dakwaan seorang wanita bahawa orang Melayu di negeri ini telah rosak apabila mereka gemar berjudi dan majoritinya tidak menunaikan kewajipan bersembahyang.
Justeru, Mohd. Fared menasihati orang ramai supaya tidak bersangka buruk kepada orang lain apatah lagi terhadap semua orang Melayu Johor, lebih lagi dalam soal beragama.
“Kalau pun ia berlaku kepada keluarga besan puan, saya amat sedih kerana ia adalah perkara yang perlu dikesali. Saya bersama Jabatan Agama Islam Johor bersedia bertemu dengan keluarga besan puan untuk kita sama-sama beri nasihat secara berhikmah.
“Benar puan sudah memohon maaf, jadi sebagai Bangsa Johor, saya mengajak semua Melayu Johor untuk memaafkan kesilapan puan ini dan berdoa mudah-mudahan ia tidak berulang lagi. Nasihat saya, mohonlah juga taubat dan keampunan daripada Allah,” katanya.
Mohd. Fared turut melihat insiden tersebut sebagai peluang baginya berkongsikan ketekunan masyarakat Melayu Johor dalam mendaulatkan Islam menerusi pendidikan agama.
Beberapa hari lalu, seorang wanita dengan nama akaun Facebook Nafsah Madano tular selepas mendakwa masyarakat Melayu negeri ini terlibat dengan perkara negatif.
“Betul. Ramai keluarga saya dari Johor, hatta besan saya adalah orang Johor. Kesian depa ni. Ada yang masih main judi dan keseluruhan keluarga besan saya itu tidak solat, tinggal anak perempuan saya je yang solat. Yang lain tu ke laut. Maaflah terpaksa buka pekung di dada. Nak bagitau sikap dan perangai Melayu Johor,” dakwanya. – UTUSAN