KOTA BHARU: Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Parang Puting, di sini bermula dari pra hingga tahun enam teruja selepas diberikan pendedahan berkait dengan Aerongkasa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia Guru Besarnya, Nik Zamri Nik Husin @ Nik Mahmud berkata, pendedahan awal yang mendapat bantuan dari empat guru mata pelajaran Sains bertujuan memupuk semangat cintakan bidang berkenaan.
Menurutnya, usaha itu selari kedudukan sekolah yang berhampiran dengan laluan penerbangan selain murid sekali mendengar deruman enjin pesawat.
“Saya kira pendedahan awal perlu diberikan kepada semua murid mengenai aeroangkasa supaya sekurang-kurangnya mengetahui kaitan bidang tersebut dengan pengangkutan awam udara.
“Memandangkan kawasan sekolah ini berhampiran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) amat wajar semua murid mendapat ilmu berkaitan aeroangkasa sebelum mereka melangkah ke alam dewasa kelak sama ada untuk memilih kerjaya tersebut atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Nik Zamri memberitahu, pada masa sama sebuah galeri angkasa akan ditubuhkan di sekolah berkenaan.
Katanya, ilmu aeroangkasa perlu dilihat secara serius dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju, khususnya dalam bidang sains dan teknologi.
“Sebelum ini kami sudah mengadakan beberapa program pada tahun ini menerusi Jalinan Pintar Korporat iaitu bersama Be Mobile Sdn Bhd, Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPN) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dalam merancakan lagi dunia pendidikan di SK Parang Punting.
“Kami berterima kasih kepada mereka yang sudi menjalinkan kerjasama sedemikian, selain menaikkan nama SK Parang Puting,” ujarnya.-UTUSAN