JOHOR BAHRU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd. Izhar Ahmad yang dahulunya merupakan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sah menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).
Beliau menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Ceramah Mega Perpaduan Madani di Taman Rekreasi Taman Uda Utama, di sini malam ini.
Pada 29 Januari tahun lalu, Mohd. Izhar yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor mengumumkan keluar daripada Bersatu.
Beliau dilaporkan berkata, keputusan tersebut dibuat kerana parti berkenaan dilihat tidak lagi berpegang kepada agenda penubuhan selain sudah hilang hala tuju.
Semalam, bekas ADUN Bukit Pasir daripada Pas, Najib Lep turut mengumumkan penyertaan beliau ke dalam parti Amanah.
Pengumuman itu dibuat dalam satu ceramah kelompok di Sungai Abong, Muar dan Najib menyerahkan borang keahlian juga kepada Mohamad.
Najib merupakan satu-satunya wakil Pas dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sebelum ia dibubarkan pada 22 Januari lalu bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
Dalam PRN tersebut, Pas bagaimanapun menggugurkan keahlian Najib daripada parti itu selepas beliau memilih bertanding sebagai calon Bebas apabila namanya tidak disenaraikan sebagai calon. Beliau kemudiannya dikatakan telah menyertai UMNO pada Oktober 2022. – UTUSAN