JOHOR BAHRU: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mengakui masih berasa geli untuk memakai baju yang mempunyai lambang Barisan Nasional (BN).
Namun, beliau sanggup mengenepikan perasaan itu demi perpaduan dan kestabilan dalam negara.
“Saya sebenarnya masih geli lagi kalau pakai baju logo dacing (logo Barisan Nasional), yalah, lebih 40 tahun kita melawan parti itu tetapi kini sudah berkawan.
“Saya ini apabila sudah berkawan, kita akan berkawan sungguh-sungguh, susah senang kita akan hadapi dan bincang bersama,” katanya pada Ceramah Mega Perpaduan Madani di Taman Rekreasi Taman Uda Utama, di sini.
Yang turut hadir, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan calon PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat.
Dalam pada itu, Mohamad turut menempelak tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa haram bagi pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai mengundi Suhaizan.
“Saya hormat dengan Muhyiddin, tetapi apabila dia cakap haram undi Suhaizan, itu akibatnya apabila berkawan dengan Pas. Kita tidak sepatutnya tentukan orang itu Islam atau tidak, masuk syurga atau neraka, itu Allah yang tentukan.
“Saya nak ingatkan kepada orang Islam, fatwa dikeluarkan PN termasuklñ oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang boleh tolak ke tepi. Itu kerana fatwa dia berubah-ubah setiap kali tiba waktu pilihan raya.
“Masa Pas lawan UMNO dulu mereka kata lawan UMNO itu jihad, jika mati syahid, sembelihan UMNO tidak sah dan solat dengan imam UMNO tidak dibenarkan.
“Waktu aku jadi walaun dulu, aku ikut semua tu. Jadi bila datang Johor pada masa itu, terpaksa solat sendiri kerana semua imam di negeri ini UMNO ketika itu. Tetapi kemudian masa berpakat dengan UMNO, kata ini kerjasama anugerah tuhan,” jelasnya. – UTUSAN