Libatkan kesatuan guru sampaikan dasar dan agenda KPM - Utusan Malaysia

Libatkan kesatuan guru sampaikan dasar dan agenda KPM

FADHLINA Sidek sewaktu berucap merasmikan Seminar Pendidikan Madani di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan turut melibatkan kesatuan-kesatuan guru di negara ini sebagai salah satu saluran bagi menyampaikan dasar dan maklumat kementerian ke peringkat akar umbi.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan, penglibatan tersebut penting kerana ahli-ahli kesatuan dan guru merupakan pelaksana dan pendukung dalam menentukan kejayaan dasar baharu pendidikan negara.

“Teras kami yang pertama adalah untuk memastikan komunikasi akan sampai dan Kongres akan sentiasa menyambut agenda Kementerian Pendidikan dan akan menggunakan saluran kesatuan selain di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk sampaikan maklumat, dasar dan agenda KPM kepada akar umbi pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendidikan Madani di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai di sini hari ini.

Seminar yang disertai oleh 350 orang peserta itu dianjurkan oleh Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) dengan kerjasama Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) USIM.

FADHLINA Sidek bergambar bersama peserta Seminar Pendidikan Madani di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Seminar tersebut diilhamkan melalui idea dan konsep ‘Karamah Insaniah’ yang telah diperkenalkan oleh Fadhlina iaitu konsep menyatukan segmen Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan secara holistik dan bersepadu.

“Ia seminar penting yang menumpukan sepenuhnya kepada citra yang disebut sebagai guru insani khususnya menyentuh Karamah Insaniah menerusi pendidikan, saya telah sebutkan berulang kali, ia pastinya dapat angkat darjat manusia khususnya dalam berikan akses pendidikan kepada anak-anak kita,” katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina dalam ucapannya mengulangi komitmen KPM yang mahu memberi perhatian dalam isu buli, jenayah seksual dan perkauman yang kini disifatkan beliau sebagai cabaran dalam sektor pendidikan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN