Lestarikan sungai dengan kerangka baharu - Sultan Nazrin - Utusan Malaysia

Lestarikan sungai dengan kerangka baharu – Sultan Nazrin

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada majlis pelancaran buku Tafsir Mawdu’i Sungai di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah meminta pihak yang bertanggungjawab terhadap pe­ngurusan sungai di negara ini mencari kaedah baharu yang lebih segar dalam menguruskan warisan alam itu.

Baginda kecewa, walaupun pelbagai dasar dan program diperkenalkan, namun majoriti masyarakat masih belum peka dengan isu tersebut.

“Justeru, kita perlu mencari kerangka baharu yang lebih segar, lebih teratur dan lebih berdaya maju, untuk menangani kelemahan pengurusan lembangan sungai.

“Selain meneladani beberapa buah negara yang memperlihatkan kejayaan melestarikan sungai secara tuntas, kita juga perlu segera merangka dasar dan pendekatan baharu yang lebih sesuai dengan mengambil kira segala kelemahan dan kekangan,” titah Sultan Nazrin.

Baginda bertitah demikian ketika melancarkan buku Tafsir Mawdu’i Sungai karya Prof Datuk Dr. Zulkifli Mohd. Yusoff dan Datuk Seri Dr. Zaini Ujang di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya, hari ini.

Titah baginda, persoalan melestarikan sungai bersifat budaya dan geopolitik tidak mungkin berjaya ditangani dengan kerangka lama yang tegar dan bersegmen.

“Pelestarian sungai adalah tanggungjawab semua pihak, bukan tanggungjawab yang terbatas atau khusus kepada sesebuah agensi atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Tanggungjawab melestarikan sungai perlu diserlahkan dalam bentuk amalan hidup yang mesra alam dan sikap proaktif untuk memberi sumbangan, atau bersedia membayar kos yang diperlukan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, masyarakat perlu diinsafkan bahawa manusia dan alam sekitar saling berkait rapat dan al-Quran sendiri mengungkapkan sejumlah 56 kali istilah sungai, tidak termasuk 94 ayat berkaitan air.

“Pendekatan ‘hard-ware’ (sains dan teknologi), dan ‘soft-ware’ (dasar, undang-undang dan norma), tidak lengkap tanpa ‘heart-ware’ (hati, roh atau manusiawi).

“Roh manusia perlu dibisikkan dengan kesedaran, menginsafkan hati agar terasa berdosa apabila melakukan perbuatan yang mencemarkan alam.

“Pendekatan lebih bersifat manusiawi perlu ditingkatkan, dalam hasrat dan usaha mahu meningkatkan kesedaran dan kesediaan masyarakat untuk melestarikan alam sekitar,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya