Lebih 400 murid sekolah rendah sertai kempen keselamatan diri dan persekitaran

Lebih 400 murid sekolah rendah sertai kempen keselamatan diri dan persekitaran

PASCAL Hos (lima kiri) bersama-sama murid sekolah rendah yang menyertai Kempen Keselamatan di SMKA Dato' Ismail di Pasir Puteh, Kelantan, hari ini. UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Lebih 400 murid dari enam buah sekolah rendah di sini diberikan pendedahan berkait kempen keselamatan diri dan persekitaran anjuran Hibiscus Oil & Gas Malaysia Limited yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Ismail, hari ini.

Menariknya sekolah terlibat seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bali, SK Dalam Ru, SK Cherang Ruku, SK Gong Manak, SK Kampung Sepulau dan SK Sungai Petai itu terletak di kawasan operasi syarikat berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr. Pascal Hos berkata, kempen kesedaran yang julung kali dilaksanakan di negeri ini menjadi landasan menyebarkan mesej keselamatan kepada murid sekolah rendah.

“Ia melibatkan mesej berkait ancaman keselamatan diri di rumah sekolah dan persekitaran awam. Tujuannya, kita mahu murid-murid mengetahui langkah-langkah keselamatan jika berdepan bahaya.

“Perkara ini perlu supaya mereka tidak panik sekali gus mampu meletakan mereka berada dalam keadaan selamat,” katanya kepada pemberita pada majlis Kempen Keselamatan Murid Sekolah Rendah Daerah Pasir Puteh yang dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Kelantan, Mashadi Mustafa di SMKA Dato’ Ismail, di sini hari ini.

Hos memberitahu, program itu turut mendapat kerjasama dari rakan strategik iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Jabatan Pertahanan Awam Pasir Puteh dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Katanya, program itu merupakan salah satu khidmat sosial pihaknya kepada masyarakat setempat.

Sementara itu, Mashadi berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama syarikat korporat dalam menjayakan program pendidikan luar bilik darjah khususnya aspek keselamatan.

Katanya, perkara itu mampu memberi gambaran jejas kepada murid-murid sekolah jika mereka berdepan dengan situasi sebenar nanti.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN