PASIR PUTEH: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengarahkan lapan buah premis makanan yang kotor ditutup selama 14 hari selepas tidak mencapai tahap kebersihan sebagaimana ditetapkan.
Pengarahnya Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, arahan itu mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 selepas pihaknya melakukan Op Bersepadu Premis Bersih di sekitar bandar ini.
Menurutnya, sepanjang operasi itu sebanyak 109 notis dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 52 buah premis makanan atas pelbagai kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“Pihak kami sentiasa peka dan mengambil berat isu berkaitan keselamatan dan kualiti makanan di negeri ini.
“Pada masa sama, JKNK sentiasa komited dalam memastikan tahap kebersihan premis makanan sentiasa berada dalam keadaan yang memuaskan serta makanan yang disediakan di premis makanan adalah selamat untuk dimakan oleh pengguna,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dr. Zaini memberitahu, pemilik dan pengendali premis makanan perlu bertanggungjawab dalam memastikan kawasan mereka bersih pada setiap masa.
Katanya, mereka yang didapati tidak mematuhi elemen-elemen penting kebersihan akan diberi bimbingan untuk mengambil tindakan pembetulan bagi meningkatkan tahap kebersihan premis mereka.
“Walau bagaimanapun, jika pemilik premis masih tidak mematuhi arahan tindakan pembetulan pada lawatan ke berikutnya, arahan penutupan premis akan di buat di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983,” ujarnya.-UTUSAN