Lakukan saringan kendiri, uji kesihatan mental - Utusan Malaysia

Lakukan saringan kendiri, uji kesihatan mental

DR. Asmayani Khalib (depan, tengah) bergambar bersama peserta selepas Majlis Pelancaran Sistem IT Mentari (MITS) 2.0 dan Garis Panduan Program Sokongan Pekerjaan di Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Orang ramai kini boleh membuat saringan kendiri bagi mengetahui tahap kesihatan mental mereka dengan mengunjungi portal Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) yang disediakan oleh kerajaan.

Melalui portal www.mentari.moh.gov.my itu, orang ramai boleh menguji sejauh mana tahap tekanan yang dihadapi mereka yang boleh menjurus kepada penyakit mental. 

Ketua Perkhidmatan Psikiatri Kebangsaan, Dr. Nor Hayati Ali berkata, selepas menjawab soalan yang dikemukakan di portal tersebut, mereka boleh menekan butang permohonan temujanji jika jawapan yang diberikan menunjukkan ada kecenderungan untuk mendapat penyakit mental.

“Kami akan merujuk kes tersebut ke pusat Mentari yang terdekat dengan orang berkenaan supaya rawatan awal dapat dimulakan dengan segera.

“Jangan tunggu hingga sampai ke tahap burnout kerana terdapat banyak kaedah dan rawatan untuk kesihatan mental,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sistem IT Mentari (MITS) 2.0 dan Garis Panduan Program Sokongan Pekerjaan di sini hari ini. 

Majlis pelancaran itu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. Asmayani Khalib.

Berdasarkan kepada ruangan Sekilas Fakta dalam buku aturcara program tersebut, portal Mentari telah menerima kunjungan seramai 7,131 orang pada bulan Jun lalu, 9,870 orang (Julai) dan 9,336 orang (Ogos).

Laman (page) yang popular di portal itu ialah permohonan untuk janji temu dengan 383 orang pada Jun, 440 (Julai) dan 549 (Ogos).

Daripada 43,754 orang yang melakukan ujian kendiri melalui portal itu sejak bulan Februari lalu, seramai 3,060 orang atau tujuh peratus daripada jumlah itu telah memohon janji temu.

 Dr. Nor Hayati yang juga Pengerusi Projek MITS 2.0 berkata, pihaknya berharap orang ramai memanfaatkan portal tersebut dalam usaha merawat gejala penyakit mental di peringkat awal.

“Kami bukan sahaja mahu merawat pesakit yang telah mencapai tahap serius tapi yang baharu hendak sakit dan tidak pasti sama ada mereka boleh terjerumus ke tahap serius,” katanya.

Jelasnya, kelebihan menggunakan portal Mentari itu ialah ia mampu memendekkan proses janji temu dengan pakar psikiatri berbanding sistem yang lazim ketika ini.

Menurut Dr. Asmayani, sehingga kini, terdapat sebanyak 33 Mentari di seluruh negara berbanding 12 buah pada tahun 2014.

“Kementerian Kesihatan bercadang menambah bilangan pusat itu kepada 40 buah menjelang tahun 2025,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya