GUA MUSANG: Kelantan merekodkan sejarah baharu apabila memiliki ladang musang king terbesar di negara ini yang berkeluasan hampir 3,000 hektar di kawasan Tanah Tinggi Lojing.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, ladang milik Sindiyan Plantation Sdn. Bhd itu dilihat mampu menjulang nama negeri ini di pentas Asia sebagai pengeluar utama musang king pada masa hadapan.
Menurutnya, hal ini kerana musang king berasal di Kelantan dan rakyat mengenalinya sebagai raja kunyit.
“Untuk itu, kerajaan negeri dengan kerjasama Ladang Sindiyan mahu menjadikan lokasi ini agro-pelancongan tidak lama lagi.
“Selain itu, kita (kerajaan negeri) berharap ladang berkenaan menjadi sebuah pusat pengumpulan buah-buahan untuk disimpan sebelum diproses dan dieksport ke luar dengan menggunakan lambang Kelantan,” katanya selepas Majlis Pengiktirafan ‘Malaysia Book Of Records’ kepada pihak Sindiyan Plantation Sdn. Bhd yang dinobatkan sebagai ladang musang king terbesar di Malaysia di Tanah Tinggi Lojing, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sindiyan Plantation Sdn. Bhd, Symantha Chai memberitahu, pihaknya mempunyai lebih 200,000 pokok durian musang king yang ditanam sejak tahun 2016 lalu.
Katanya, pembukaan ladang itu dilihat mampu membawa limpahan sosioekonomi kepada penduduk setempat selain kelestarian kepada alam sekitar.
“Melalui usahasama dengan Syarikat Hernan Corporation Sdn. Bhd. kita menyasarkan untuk menghasilkan 60,000 tan metrik durian setiap tahun. Usahasama ekslusif ini akan dapat memenuhi permintaan tinggi dunia terhadap durian dari Malaysia.
“Sebagai pengeksport dan pengeluar terbesar durian dan produk berasaskan durian, kami telah mengembangkan operasi di peringkat global untuk memenuhi permintaan durian di negara seperti Australia, China, Kanada, Indonesia, Jepun, Belanda, UK dan Amerika Syarikat,” ujarnya.-UTUSAN