Kurus, gemuk pun orang mengata - Shiha Zikir - Utusan Malaysia

Kurus, gemuk pun orang mengata – Shiha Zikir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“NAMPAK dah gemuk, sebab itu mengah bila menyanyi dan menari.”

Itu antara kecaman yang diterima penyanyi, Shiha Zikir ketika mengadakan persembahan di TikTok Awards baru-baru ini.

Tidak hanya itu, dia juga dikatakan terlalu mengubah originaliti lagu Anggapanmu (nyanyian asal Ziana Zain) sehingga ada segelintir peminat kurang suka dan tidak menerima persembahan penyanyi berusia 36 tahun itu.

Lantas bagaimana pula penerimaan Shiha apabila dikatakan semakin berisi dan persembahannya juga menerima kecaman? Jawablah mendapatkan Shiha Zikir!

Persembahan Shiha baru-baru ini di TikTok Awards mendapat pujian ramai. Tetapi biasalah, tetap ada segelintir yang tidak suka. Ada yang dakwa, Shiha ‘merosakkan’ originaliti dan kesedapan lagu tersebut? Komen?

Saya ini tidak mengharap pun orang akan suka dengan apa sahaja yang saya lakukan. Macam mustahil pun ada juga kan, mana ada manusia sempurna. Pasti ada sahaja yang akan mengata.

Saya sedar lagu Anggapanmu itu sangat besar tetapi diubah mengikut tema majlis anugerah tersebut. Kita perlu ikut juga peredaran muzik sekarang. Saya dan pihak produksi sedaya ubah untuk tidak ubah originaliti.

Saya sendiri tidak ubah cara nyanyian dan melodi, cuma muzik sahaja dirancakkan mengikut tema anugerah tersebut.

Selain lagu, ada juga yang dilihat meninggalkan komen berkaitan berat badan Shiha yang dikatakan sudah bertambah? Ada cakap Shiha gemuk, sampai mengah menyanyi dan menari.

Berat badan saya memang dah naik. Itu saya tak nafikan. Ditambah pula dengan dua tiga lapis baju, jadi memang akan nampak lebih besar.

Saya dan team pun sudah tahu akan ada komen-komen sebegini. Saya okay sahaja dengan berat badan saya sekarang.
Lagu Anggapanmu itu pun, kalau tak menari juga akan buat kita penat. Ditambah pula dengan koreografi tarian, memang akan mengah lah.

Terasa hati tak dengan komen-komen sebegitu? Seperti jadi mangsa body shaming pula. Itu adalah sesuatu yang tidak seharusnya dinormalkan dalam percakapan harian.

Tak kisah pun sebab zaman sekarang ini, memang wujud golongan yang suka body shaming orang lain. Masih lagi diperkatakan. Kita tak boleh ubah pemikiran orang, mustahil untuk kita ubah.

Cuma kita sendiri perlu ubah cara penerimaan itu. Dulu saya kurus sangat, orang mengata. Bila naik pun orang mengata. Saya tak ambil kisah sangat asalkan tubuh sihat dan pemikiran juga positif.

Sebenarnya mereka yang komen sebegitu melambangkan diri sendiri, pemikiran sendiri yang mungkin takut berat badan naik. Janganlah terlalu sibuk hal-hal yang bukan kepentingan kita.

Atau sebenarnya, Shiha sedang menikmati kehidupan. Bahagia dengan apa yang dimiliki sehingga membuatkan Shiha tidak kisah?

Saya ini seorang yang aktif dan kuat bekerja. Jadi, bila hendak makan, saya makan sahaja. Nanti bila mahu kurus, saya akan usaha sebaiknya. Saya mahu peminat menikmati kehidupan masing-masing.

Jangan sampai tak makan semata-mata hendak kurus. Boleh sahaja makan mengikut kuantiti sewajarnya. Saya pun tahu, usia sudah meningkat dan kadar metabolisme juga semakin berkurang.

Jadi, bila makan, saya tidak ambil secara berlebihan dan kawal nafsu juga. Tetapi dalam masa sama, tidak seksa diri sendiri semata-mata hendak kurus kerana takut dikecam.

Projek baharu? Ada tawaran drama? Ramai rindu dengan lakonan Shiha. Sebelum ini tampil dengan naskhah komedi, mungkin teringin mahu bawa watak air mata lagi?

Sekarang saya sedang giat mempromosikan single baharu, Kalam dan Tusuk. Istimewa lagu Tusuk itu adalah kerana saya kembali dengan genre balada selepas kali terakhir pada 2018, Jagakan Dia.

Lakonan pula, memang ada terima tawaran tetapi buat masa ini saya terpaksa tolak. Disebabkan saya mahu fokus kepada nyanyian dan perniagaan yang saya kendalikan.

Bukan tak mahu, tetapi saya mungkin perlu memilih. Sebab fokus saya bukan bidang lakonan, jadi setiap watak itu harus memberi impak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya