KPT-UUM tawar program celik digital kepada peniaga - Utusan Malaysia

KPT-UUM tawar program celik digital kepada peniaga

MOHAMED KHALED NORDIN (tengah) bergambar bersama-sama pengerusi dan pengarah kolej komunti pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Negeri Johor di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) merancang menawarkan program celik digital kepada golongan peniaga dalam sesebuah komuniti.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerjasama itu bagi menyediakan latihan bersesuaian di Kolej Komuniti di setiap kawasan supaya dapat melahirkan lebih ramai usahawan bukan sahaja mahir dalam perniagaan, malah pendigitalan.

“Kita mahu komuniti setempat dibekalkan dengan kemahiran perniagaan sebagai nilai tambah kemahiran sedia ada dan terbuka kepada semua tanpa mengira had usia.

“Sesiapa sahaja yang belum bekerja dan mahu menambah kemahiran diri, kolej komuniti adalah tempatnya. Malah, kepada sesiapa sahaja yang tidak pernah mempunyai apa-apa kelayakan, namun ingin mempunyai sijil pertama, maka kolej komunitilah tempatnya,” katanya selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Negeri Johor di Hotel Holiday Villa, di sini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Mohd. Zahari Ismail.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada setiap kolej komuniti bagi menjalankan pelbagai program melibatkan kerjasama institusi itu dengan masyarakat setempat.

Terdahulu, Mohamed Khaled menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi JPENKK kepada 12 individu terdiri daripada pemimpin komuniti dengan tempoh perkhidmatan mulai 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2025 bertujuan menggalakkan hubungan serta kerjasama antara kolej komuniti dan masyarakat setempat.

Beliau turut menyerahkan replika cek bernilai RM2.14 juta kepada Mohd. Zahari sebagai tanda pelancaran Program Khas Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Komuniti Madani di 105 buah kolej komuniti di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN