KPM teliti peruntukan beli peralatan STEM, robotik dalam Belanjawan 2024 - Utusan Malaysia

KPM teliti peruntukan beli peralatan STEM, robotik dalam Belanjawan 2024

FADHLINA SIDEK (belakang, tengah) bergambar bersama-sama para pelajar yang akan mewakili negara ke Pertandingan World Robot Olympiad 2023 di Panama City, Panama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Kementerian Pendidikan akan meneliti peruntukan bagi perolehan peralatan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta robotik dalam Belanjawan 2024.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, peruntukan itu akan dibuat berdasarkan keperluan semasa di bawah Inisiatif Pengukuhan Pendidikan STEM bagi menyokong aktiviti kokurikulum STEM dan robotik dalam usaha melahirkan generasi muda negara berilmu, kreatif, kritis, inovatif dan inventif serta berdaya saing dalam kokurikulum berimpak tinggi.

“Kementerian Pendidikan sentiasa melihat kepada keperluan dan inisiatif, contoh apabila bercakap fasal pembudayaan STEM, jadi ia berkait rapat juga dengan inisiatif. Inisiatif ini mesti melalui unjuran-unjuran dan saya fikir bajet itu mesti mendapat sokongan.

“Untuk pembudayaan itu mesti mendapat inisiatif dan sokongan. Insya-Allah kita akan lihat perkara itu dan sudah pun menjadi perkara utama yang menjadi kiraan kita semasa belanjawan,” katanya selepas Majlis Penutupan Pertandingan Robotik Kebangsaan Peringkat Akhir 2023 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini hari ini.

Dalam Belanjawan 2023, Kementerian Pendidikan telah memperuntukkan sebanyak RM5.8 juta bagi perolehan peralatan STEM dan robotik kepada 320 buah sekolah di seluruh negara.

Dalam majlis itu, lima buah pasukan terdiri daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Puay Chai 2, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Kwang Hwa, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua (CF), SMK Katolik (M) dan SMK Tinggi Batu Pahat dinobatkan juara dalam tujuh kategori yang dipertandingkan.

Kejayaan itu melayakkan pasukan-pasukan tersebut mewakili negara ke pertandingan World Robot Olympiad 2023 (WRO 2023) World Final di Panama City, Panama pada 7 hingga 9 November depan.

Pertandingan Robotik Kebangsaan atau National Robotics Competition (NRC) merupakan satu daripada program STEM, khusus untuk pelajar sekolah rendah dan menengah berusia antara tujuh hingga 19 tahun.

Sebanyak 12 kategori dipertandingkan pada NRC kali ini yang disertai 5,625 pelajar daripada 1,875 pasukan sekolah rendah serta menengah yang mewakili setiap negeri dari seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN