KPJ Wilayah Selatan sumbang bilik penyusuan di kompleks beli-belah - Utusan Malaysia

KPJ Wilayah Selatan sumbang bilik penyusuan di kompleks beli-belah

DR. SITI KHATIJAH ABDUL RAHIM (kanan) merasmikan program Segamat Sihat 2.0 di Segamat Central Shopping Mall, Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Hospital Pakar KPJ Wilayah Selatan menjadi hospital swasta pertama di negeri ini memberi sumbangan bilik penyusuan di kompleks beli-belah Segamat Central Shopping Mall, di sini hari ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah, Mohd  Azhar Abdullah, KPJ memberi sumbangan berupa bilik penyusuan di pusat beli-belah tersebut sempena Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Negeri Johor.

“KPJ sentiasa komited untuk memberi kesedaran berkaitan kesihatan kepada orang awam. Selain itu, pihak KPJ sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan kesihatan awam terjaga.

“Kami merupakan hospital swasta pertama di negeri ini yang menyumbangkan Bilik Penyusuan kepada kompleks beli-belah bagi memudahkan golongan ibu untuk menyusukan anak semasa mereka membeli-belah,” katanya ketika ditemui pada program Segamat Sihat 2.0 anjuran bersama KPJ Healthcare dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor yang  dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Siti Khatijah Abdul Rahim (Kesihatan Awam), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, N. Saraswati dan ADUN Jementah, Ng Kor Sim.

Mohd. Azhar berkata, antara strategi yang dijalankan oleh pihak KPJ termasuk Perluasan Inisiatif Hospital Rakan Bayi kepada Hospital Swasta, Klinik Rakan Bayi, pendidikan kesihatan dan pemakanan, latihan untuk anggota kesihatan dan penyebaran maklumat menerusi pelbagai saluran media.

Empat hospital KPJ di Wilayah Selatan juga telah mendapat pengiktirafan Hospital Rakan Bayi, iaitu KPJ Johor, KPJ Puteri, KPJ Pasir Gudang dan KPJ Bandar Maharani, Muar. 

Sementara itu, Dr. Siti Khatijah berkata, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan penyusuan susu ibu kepada bayi yang baru lahir hingga berumur dua tahun.

“Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Johor juga telah menjalankan pelbagai strategi dan aktiviti bagi mempromosikan amalan penyusuan susu ibu dan pemberian makanan yang berkhasiat dan mencukupi. Tempoh kritikal pertumbuhan seseorang bayi, iaitu pada 1,000 hari pertama bermula dari awal kehamilan hingga anak berusia dua tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya