Kopi Saigon Indera Mahkota 7 tawar diskaun untuk OKU - Utusan Malaysia

Kopi Saigon Indera Mahkota 7 tawar diskaun untuk OKU

PENGERUSI DAZ Group Resources, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir (depan, kiri) merasmikan pembukaan Kopi Saigon milik DAZ Group Resources di Indera Mahkota 7 di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kopi Saigon milik DAZ Group Resources di Indera Mahkota 7 di sini mengutamakan konsep ‘Tiada Hari Tanpa Sedekah’ apabila menawarkan diskaun istimewa kepada orang kurang upaya (OKU) setiap kali membeli kopi di situ.

Pengurus syarikat Kopi Saigon Indera Mahkota 7, Danial Asyraf Zuhairi, 28, berkata, diskaun tersebut adalah sepanjang masa dengan kadar minima 10 peratus.

“Jika sempena bulan kemerdekaan atau Ramadan sebagai contoh, kadar diskaunnya akan berbeza. Ia boleh jadi 20 peratus atau lebih. Kadar ini akan ditentukan daripada semasa ke sama oleh pihak syarikat.

“Diskaun ini hanya diberikan di Kopi Saigon Indera Mahkota 7 sahaja kerana kita di sini mengamalkan konsep sedekah harian kepada golongan OKU,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian pembukaan Kopi Saigon di Indera Mahkota 7 di sini hari ini.

ANAK-anak OKU turut hadir pada majlis pembukaan Kopi Saigon milik DAZ Group Resources di Indera Mahkota 7 di Kuantan, Pahang.

Danial Asyraf yang menguruskan kedai itu bersama isterinya, Nurfarhan Abdul Manan, 26, berkata, penerima diskaun tersebut akan ditambah selepas ini seperti kepada warga emas bagi memastikan konsep ‘Tiada Hari Tanpa Sedekah’ terbabit diperluaskan khususnya kepada golongan kurang berkemampuan.

Beliau berkata, selain 13 jenis kopi yang merupakan menu utama di situ, Kopi Saigon Indera Mahkota 7 turut menawarkan menu sampingan seperti nasi lemak, nasi minyak, nasi berlauk dan nasi dagang bermula pukul 8 pagi hingga 11 malam.

“Menu sampingan ini kita sediakan sendiri bagi memberikan pelbagai pilihan menu yang bukan hanya berasaskan kopi,” katanya.

Berhubung soalan kenapa memilih Kopi Saigon, beliau berkata, ia dipilih kerana penghasilan kopi jenama itu yang juga dikenali sebagai Kopi Vietnam menggunakan kaedah tradisional tanpa mesin.

“Ia atas kemahiran pembuat kopi tersebut, disebabkan itu jugalah produk Kopi Vietnam mempunyai rasa premium yang sama taraf dengan kualiti Kopi di Vietnam,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, DAZ Group Resources mensasarkan untuk membuka dua lagi outlet Kopi Saigon pada tahun ini di daerah ini.

“Outlet di Indera Mahkota 7 ini adalah yang pertama, kita sudah pun membuat permohonan untuk membuka premis kedua kopi ini di Taman Tas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya