SEREMBAN: Gabungan irama muzik tradisional Negeri Sembilan dan kontemporari bakal bergema dalam konsert Irama Etnika Tradisional Negeri Sembilan 2023 yang diadakan di sini Sabtu ini.
Gabungan irama muzik itu menjadi pilihan penganjur, Kelab Teater ASAR Negeri Sembilan untuk dipersembahkan kepada 500 orang penonton di Auditorium D’Sury di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri di sini mulai pukul 8 malam.
Pengarah konsert itu, Prof. Madya Dr. Ahmadrashidi Hasan berkata, gabungan muzik tradisional dan kontemporari itu dikenali sebagai Neo-Tradisisme iaitu menghasilkan semula lagu tradisional Negeri Sembilan dalam bentuk baharu dan terkini dengan memelihara nilai tradisinya.
Beliau yang juga pengasas kelab teater tersebut berkata, tujuannya ialah untuk memastikan irama tradisional negeri ini daripada genre Bongai, Tumbuk Kalang dan Cak Lempong terus kekal dan digemari oleh generasi muda hari ini.
“Konsep Neo-Tradisime ini diharap akan menjadikan lagu tradisional Negeri Sembilan terus segar dan digemari oleh generasi kini dan akan datang,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, seramai 47 orang pemuzik yang menggunakan 28 jenis alat muzik tradisional dan moden akan mengadunkan 15 lagu sepanjang 90 minit konsert tersebut.
Jelasnya, persembahan dimulakan dengan irama muzik tradisional asli iaitu Bongai, Cak Lempong dan Tumbuk Kalang dalam bentuk asalnya agar audien dapat mengenali asal usul, tujuan dan permainan muzik itu.
“Secara keseluruhannya, penonton akan menikmati sebanyak sembilan lagu Neo-Tradisisme dan enam lagu tradisional.
“Antara penyanyi yang memberikan persembahan ialah Abu Bakar Mustaffa (Ulong Bakar), Yunus Ibrahim, Hazlin Ismail, Nen Tebabo dan Isma AF,” ujarnya.
Selain lagu tradisional Melayu, penonton juga akan dihiburkan dengan kumpulan muzik klasik India dan okestra Cina oleh Soka Gakkai Malaysia.-UTUSAN.